PPM tahan 2 lelaki, rampas 1,230 liter petrol di Semporna

PPM tahan 2 lelaki, rampas 1,230 liter petrol di Semporna

SEMPORNA, 19 Jun (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki kerana cuba menyeludup keluar 1,230 liter minyak petrol dan 170 paket minyak masak ke negara jiran, di perairan Nusa Kuya dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah ACP Mohamad Madun berkata lelaki berusia 26 dan 29 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan di perairan berkenaan.

“Tangkapan pertama dibuat pada kira-kira 2.30 petang semasa sepasukan anggota yang menjalankan operasi tugas khas, menahan dan memeriksa sebuah bot pam.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki bersama-sama 870 liter minyak petrol dan 170 paket minyak masak yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata tangkapan kedua berlaku kira-kira 2.45 petang selepas pasukan peronda PPM melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot yang dinaiki seorang lelaki di perairan sama.

Pemeriksaan itu menemukan 360 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran, katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

ARTIKEL YANG SAMA