PPM tumpas kegiatan korek pasir haram

PPM tumpas kegiatan korek pasir haram

KUCHING, 30 Jun (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak menggagalkan kegiatan mengorek pasir tanpa permit dan merampas sebuah kapal korek, pasir serta dua buah kren bernilai lebih RM2 juta di perairan Batang Rajang di Sibu semalam.

Komander PPM wilayah itu, ACP N. Kalai Chelvan berkata serbuan yang dilakukan oleh sepasukan lapan orang anggota PPM Wilayah Lima itu turut menahan empat lelaki tempatan yang sedang melakukan kerja-kerja mengorek pasir.

“Kira-kira 6 pagi semalam, pasukan yang diketuai ASP Muhammad Sallam Spawi melakukan risikan di sepanjang Batang Rejang dan sebelum membuat pemeriksaan ke atas sebuah kapal korek di lokasi.

Setelah diperiksa didapati kapal tersebut beroperasi tanpa permit dan lesen yang sah, satu kesalahan di bawah Kanun Tanah Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan itu pihaknya telah bertindak merampas kapal korek berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta; 20 tan metrik pasir yang dikorek bernilai RM3,500 dan dua buah kren bernilai RM500,000 serta menahan empat lelaki berkenaan.

“Kes telah diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sibu untuk tindakan lanjut. Satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Lanang,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Kalai Chelvan berkata anggota PPM Wilayah Lima telah merampas kayu balak pelbagai saiz dan jenis kerana tidak mempunyai pas pemindahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sarawak di Tebingan Sungai Ulu Lanang, di Sibu semalam.

Beliau berkata anggotanya turut bertindak merampas empat lori dan menahan empat lelaki tempatan yang juga pemandu lori berkenaan.