PPNBD adakan majlis tadarus & iftar

PPNBD adakan majlis tadarus & iftar

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Pelbagai kegiatan keagamaan telah dijalankan dalam menyemarakkan kedatangan bulan mulia Ramadan yang penuh rahmat ini.

Seperti lazimnya setiap tahun, Bahagian Keagamaan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan untuk mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran dalam kalangan para pesuruhjaya pengakap, pegawai eksekutif pengakap, pemimpin pasukan pengakap, ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana yang berlangsung di Balai Ibadah PPNBD di Jalan Gadong, baru-baru ini.

Hadir sama di majlis berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Setiausaha Agung Pengakap, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar serta Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan, Haji Othman bin Durani.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa sebelum diteruskan dengan bacaan tadarus Al-Quran bermula daripada Juz 1.

Haji Awang Badar serta ahli pengakap lain yang menyertai Majlis Tadarus Al-Quran.
Haji Awang Badar serta ahli pengakap lain yang menyertai Majlis Tadarus Al-Quran.

Ia diadakan bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli pengakap namun dapat meneruskan tradisi membaca Al-Quran secara beramai-ramai dalam mendapatkan ganjaran pahala dalam bulan mulia ini.

Kemudian acara berkenaan diteruskan dengan majlis berbuka puasa dan menunaikan sembahyang fardu Maghrib serta sembahyang fardu Isyak berjemaah dan diselajurkan dengan sembahyang sunat tarawih.

ARTIKEL YANG SAMA