PPNBD anjur Kursus Kepimpinan

PPNBD anjur Kursus Kepimpinan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Mendalami ilmu kepimpinan yang berterusan dan melaksanakan peranan serta tanggungjawab sebagai seorang Ketua Patrol sangat penting untuk menjadi seorang ketua yang berkesan.

Sehubungan itu, Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Bahagian Pengakap Muda, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan Kursus Kepimpinan Ketua Patrol ke-7, yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong.

Kursus tiga hari itu disertai oleh seramai 31 orang bakal ketua patrol yang terdiri daripada pelajar Tahun 7 hingga 9 dari Sekolah Menengah Sayyidina Hussain, Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Menengah Masin, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dan juga ahli Pengakap Orang Berkeperluan Khas dari Pusat Bahagia Pulaie, Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Setelah melalui kursus itu, para peserta diraikan dan menerima sijil penyertaan mereka pada majlis penyampaian sijil penyertaan dan sijil penghargaan kursus, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sijil penyertaan dan penghargaan telah disampaikan oleh Naib Yang Di-Pertua PPNBD, Pengiran Wahab bin Pengiran Hassan.

Peserta kursus sedang melakukan permainan ‘teamwork’.
Peserta kursus sedang melakukan permainan ‘teamwork’.

Turut hadir ialah Ketua Unit Beruni-form dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan, pegawai-pegawai dari Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum para pesuruhjaya pengakap dan pemimpin-pemimpin pasukan pengakap.

Sepanjang mengikuti kursus itu, para peserta bukan sahaja diberikan pendedahan dan tunjuk ajar kepada ilmu kepimpinan dalam berpengakap malah didedahkan mengenai peranan serta tanggungjawab dan ketahanan mental juga fizikal yang perlu dimainkan dalam melaksanakan tugasan sebagai seorang ketua patrol.

Sebanyak 15 sesi pembelajaran telah disampaikan kepada peserta kursus di mana peserta kursus telah dibahagikan kepada lima kumpulan kecil.

Selain daripada kegiatan latihan dan teori mengenai ilmu pengakap, mereka turut diberikan latihan praktikal seperti ikatan dan simpulan, latihan kawad kaki, membaca peta, mengenal kompas, pengembaraan, membina model projek pengakap juga perbincangan dalam kumpulan serta membentangkan hasil perbincangan secara individu bagi menambah keyakinan mereka berucap di khalayak ramai.

ARTIKEL YANG SAMA