PPNBD anjur latihan GSAT

PPNBD anjur latihan GSAT

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dengan kerjasama Biro Pengakap Sedunia/Rantau Asia Pasifik telah menganjurkan latihan pengakap serantau iaitu Latihan Pemudah Cara Alat Penilaian Bagi Sokongan Global (GSAT) di Dewan Persidangan, Tingkat 4, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, di sini.

Latihan tiga hari bermula 21 Mei lalu itu telah berakhir semalam dan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengakap Serantau Asia Pasifik, Paul Parkinson yang turut disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PPNBD, Pengiran Wahab bin Pengiran Hassan, pengarah serantau bagi Pengakap Rantau Asia Pasifik dan pegawai-pegawai pengakap.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, Latihan Pemudah Cara GSAT ini disertai seramai 25 orang pegawai pengakap dari 13 buah negara iaitu Australia, Bangladesh, Hong Kong, India, Indonesia, Korea Selatan, Malaysia, Nepal, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan Switzerland.

Paul Parkinson menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta.
Paul Parkinson menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta.

Penganjurannya antara lain berobjektif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pergerakan Pertubuhan Pengakap Kebangsaan (NSO) dengan melatih pemimpin pengakap utama berdasarkan standard Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) iaitu GSAT.

Ia juga diadakan bagi memberi sokongan kepada NSO untuk mengenal pasti keperluan dan keutamaan, kerana ia telah dilaksanakan menerusi penilaian GSAT pihak ketiga, dengan mengadakan sesi mengenai peranan sebenar pemudah cara GSAT.

Selain itu, untuk memberikan sokongan sewajarnya sebagai susulan, memboleh NSO untuk bertindak daripada hasil penilaian dengan menghubungkan proses keseluruhan kepada panel pakar GSAT.

Para peserta yang dilatih sebagai pemudah cara GSAT itu akan menjadi sebahagian daripada pasukan untuk menyokong pergerakan NSO di negara-negara lain bagi mengukuhkan urus tadbir dan keupayaan organisasi untuk memastikan standard global.

GSAT adalah Standard Kualiti WOSM yang menilai kepatuhan NSO terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam kepimpinan baik dan kegiatan pengakap yang berkualiti.

ARTIKEL YANG SAMA