PPNBD bersihkan Pantai Muara

PPNBD bersihkan Pantai Muara

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) bersama jutaan penduduk dunia yang lain, hari ini, menyambut Kempen Bersihkan Bumi dengan mengadakan kempen membersihkan Pantai Muara, di sini.

Kira-kira 350 kilogram sampah telah dikumpulkan dalam kempen berkenaan yang disertai lebih 200 ahli yang terdiri daripada para pesuruhjaya pengakap, pemimpin-pemimpin pasukan pengakap serta ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Kelana, Pengakap Laut dan Pengakap Udara daripada 15 pasukan pengakap seluruh negara.Turut serta dalam kempen selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas, yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Hadir sama ialah Ketua Pesuruhjaya, Haji Badar bin Haji Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji A. Hapidz serta Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar.

Ahli PPNBD bergambar ramai dengan sijil penyertaan selepas menjayakan Kempen Bersihkan Bumi di Pantai Muara.
Ahli PPNBD bergambar ramai dengan sijil penyertaan selepas menjayakan Kempen Bersihkan Bumi di Pantai Muara.

Menurut kenyataan PPNBD, kempen bertema ‘Our Place… Our Planet… Our Responsibility’ diadakan untuk memberi kesedaran dan memupuk kefahaman betapa pentingnya pengetahuan kepada generasi sekarang serta peranan mereka dalam penjagaan kebersihan di muka bumi ini. Ia dianjurkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) dan disokong oleh Pergerakan Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) serta pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Tahun ini merupakan kali keenam PPNBD mengadakan kempen seumpamanya sejak 2010, yang mana setiap tahun ia diadakan di tempat-tempat berlainan; Pantai Serasa (2010), Pantai Tungku (2011), Pantai Jerudong (2012), Tapak Jambori Nasional keempat di Lot Tanah Kerajaan Beribi (2013) dan kawasan Kompleks Pengakap, Balai Ibadah PPNBD dan Pusat Latihan dan Kegiatan PPNBD, Jalan Gadong (2014).

Program ini turut diselajurkan dengan Sambutan Hari Kedamaian Antarabangsa yang disambut pada setiap 21 September, yang mana para peserta turut mempamerkan beberapa slogan yang antara berbunyi ‘Peace Starts With Me’ dan ‘Pray For Peace’.

ARTIKEL YANG SAMA