PPNBD dan Armada tidak ketinggalan sambut Earth Hour

PPNBD dan Armada tidak ketinggalan sambut Earth Hour

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan untuk turut serta bersama jutaan orang di seluruh dunia dalam menyokong dan menyertai kempen menjimatkan penggunaan tenaga elektrik melalui acara ‘Earth Hour 2016’ yang membawa tema, ‘Tempat yang Kita Cintai (‘Places we love’), pada 19 Mac lalu.

Acara yang dijalankan bermula dari pukul 8:30 malam hingga 9:30 malam di tapak Jambori Pengakap Tunas ke-4, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, disertai oleh lebih 400 orang peserta jambori termasuk penyertaan daripada ahli-ahli Pengakap Tunas PPNBD serta dari Negeri Perak Darul Ridzuan, Terengganu Darul Iman, Selangor Darul Ehsan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir dalam acara itu ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Ketua Perkhemahan Jambori, Hajah Noraini binti Haji Saidi, ketua-ketua kontinjen serta beberapa orang pesuruhjaya pengakap, pemimpin-pemimpin pasukan pengakap Tunas, penolong-penolong pemimpin pasukan Pengakap Tunas, peserta jambori dan ibu bapa ahli pengakap Tunas.

Perkara yang menarik mengenai dengan sambutan pada tahun ini ialah ia berlaku bertepatan semasa berlangsungnya Jambori Pengakap Tunas ke-4 Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam bersempena sambutan 100 tahun Pengakap Tunas Sedunia.

Formasi 60 minit sempena Earth Hour 2016 oleh ahli-ahli pengakap Tunas.
Formasi 60 minit sempena Earth Hour 2016 oleh ahli-ahli pengakap Tunas.
Peserta jambori yang mengambil bahagian dalam Earth Hour 2016.
Peserta jambori yang mengambil bahagian dalam Earth Hour 2016.
Warga Armada Properties turut meraikan Earth Hour.
Warga Armada Properties turut meraikan Earth Hour.

Sementara itu, seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Armada Properties dan penyewa di Pusat Rekreasi Armada turut serta dalam acara Earth Hour 2016 yang bertujuan untuk mengukuhkan nilai-nilai komuniti dan hubungan Armada dengan penyewa mereka, di samping meningkat kesedaran terhadap situasi perubahan iklim.

Beberapa aktiviti telah dimuatkan dalam acara itu termasuk permainan papan, sesi akustik, pertandingan tanglung di antara jabatan, sesi bercerita dan mencari harta karun dalam suasana gelap.

Acara itu dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai berjimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik yang harus diterapkan kepada generasi muda supaya mereka lebih memahami dan mengetahui mengenai isu alam sekitar termasuk isu perubahan iklim dan pemanasan global.

ARTIKEL YANG SAMA