PPNBD jayakan Hari Sukarelawan

PPNBD jayakan Hari Sukarelawan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Semangat bergotong-royong dan kesukarelawan dalam kalangan masyarakat masa perlu dikembalikan khususnya golongan belia dan salah satu caranya adalah melalui kegiatan yang penuh bermakna iaitu program Day Of Action (D.O.A) yang diadakan secara besar-besaran di seluruh negara hari ini.

Dalam sama-sama menjayakan dan memberigakan lagi usaha ke arah meningkatkan semangat kesukarelawanan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang ditubuhkan dengan konsep berorientasikan kesukarelawanan serta penglibatan dalam kerja-kerja kemasyarakatan tidak ketinggalan untuk turut serta mengambil bahagian dalam kegiatan yang berkebajikan itu, bagi sama-sama menyokong seruan pihak kerajaan.

Bermula daripada penyertaan PPNBD dalam majlis perasmian di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, pagi tadi, ahli-ahli pengakap di seluruh negara telah menjalankan pelbagai kegiatan kesukarelawanan dengan menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan.

Di Daerah Brunei dan Muara, PPNBD telah menjalankan dua kegiatan kemasyarakatan iaitu menyampaikan sumbangan amal berbentuk barangan makanan dan keperluan dapur kepada 13 buah keluarga yang kurang berkemampuan di Kampung Perpindahan Mata-Mata dan Kampung Mata-Mata, Gadong yang berlangsung di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong.

Hadir bagi majlis penyampaian sumbangan amal berkenaan ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas, Naib Yang Di-Pertua, Haji Awang Abu Bakar bin Haji Awang Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin POKRSDP Haji A. Hapidz, setiausaha a gong, ketua pegawai eksekutif, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pegawai eksekutif pengakap.

Dato Paduka Haji Idris menyampaikan sumbangan amal kepada salah seorang penerima.
Dato Paduka Haji Idris menyampaikan sumbangan amal kepada salah seorang penerima.
Bergambar ramai bersama penerima sumbangan amal pada majlis tersebut.
Bergambar ramai bersama penerima sumbangan amal pada majlis tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Perpindahan Mata-Mata, Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Haji Abdul Rahman, Ketua Kampung Mata-Mata, Haji Metali bin Haji Kamis, ahli-ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, para belia masjid serta ahli-ahli keluarga penerima sumbangan amal.

Manakala itu, kegiatan kedua yang dijalankan pula melibatkan kira-kira 30 orang ahli Pengakap Kelana yang mengadakan Kempen Membersihkan Pantai di Pantai Muara. Melalui program itu, para ahli pengakap berjaya mengutip lebih 400kg sampah iaitu meliputi botol-botol plastik, botol kaca, satu set televisyen rosak, bekas makanan poliester, bekas minuman tin, plastik makanan dan sebagainya.

Program yang dijalankan itu juga adalah sebahagian daripada Program Anugerah Pengakap Sedunia yang sedang dilakukan oleh ahli Pengakap Kelana.

Semasa kempen itu, Dato Paduka Haji Idris bersama beberapa orang pesuruhjaya pengakap dan pegawai eksekutif pengakap turut berkesempatan menyertai kempen membersihkan pantai berkenaan. Di Daerah Belait pula, seramai 10 orang ahli pengakap telah membantu membersihkan kawasan sekeliling sebuah rumah anak yatim di Kampung Singap, Merangking di Belait.

Antara kerja kemasyarakatan yang dilakukan oleh mereka termasuk memberi bantuan makanan, membantu memotong rumput, mengemas dan membersihkan di luar dan dalam rumah berkenaan.

Sementara itu, di Daerah Temburong, seramai 20 orang ahli pengakap telah bertungkus lumus membersihkan beberapa buah rumah rosak dilanda banjir kilat yang berlaku di Kampung Selapon di daerah berkenaan, baru-baru ini.

D.O.A merupakan program anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan yang melibatkan penyertaan sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) bersempena dengan Sambutan Hari Kesukarelawanan Antarabangsa yang lazimnya disambut pada setiap 5 Disember. Ia diharap akan menjadi simbol kepada perpaduan dan usaha-usaha pelbagai lapisan masyarakat untuk bergerak ke arah perubahan dengan menggunakan pendekatan bergotong-royong.

ARTIKEL YANG SAMA