PPNBD lawat Pusat Biodiversiti Marin

PPNBD lawat Pusat Biodiversiti Marin

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (5 Jun 2015) dan Hari Lautan Sedunia (8 Jun 2015), Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Biodiversiti Marin, Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama di Pantai Meragang.

Rombongan diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, dan disertai seramai 50 ahli pengakap yang terdiri daripada pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pegawai eksekutif pengakap, pemimpin-pemimpin pasukan pengakap, ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana dari Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas (SR OKBI), Subok, Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Sekolah Menengah Pehin Dato Seri Maharaja Perpindahan, Mentiri, dan Sekolah Menengah Sayyidina Hussain, Jerudong.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pegawai Pusat Biodiversiti Marin, Haji Ramlee bin Haji Ahmad.

Lawatan rombongan dimulakan dengan mendengar taklimat mengenai visi dan misi serta peranan penting pusat berkenaan yang mula dibuka dengan rasmi pada 11 Jun 2012, serta menyaksikan tayangan video mengenai kehidupan marin dan terumbu karang di dalam perairan lautan negara kita serta lawatan ke ruang hidupan karang.

Ahli-ahli rombongan turut diberi pengenalan mengenai hidupan marin yang terdapat di perairan negara ini termasuklah pelbagai jenis ikan, udang, ketam, penyu dan terumbu karang.

Hajah Noraini menunjukkan batu karang (coral) kepada ahli Pengakap Tunas.
Hajah Noraini menunjukkan batu karang (coral) kepada ahli Pengakap Tunas.
Haji Awang Badar bergambar ramai bersama rombongan PPNBD.
Haji Awang Badar bergambar ramai bersama rombongan PPNBD.

Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi, yang juga Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas SR OBKI, Subok, menjelaskan lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta kesedaran betapa pentingnya menghargai lautan serta menjaga ekosistem marin daripada tercemar.

Dengan hasrat generasi muda memahami kepentingan alam sekitar ini, lawatan ini juga satu nilai tambah dalam pembelajaran luar bilik darjah untuk menyedari bahan-bahan plastik yang dibuang ke dalam laut boleh mengakibatkan kepupusan penyu.

Ia dihasratkan dapat memberi peluang kepada sebahagian ahli-ahli pengakap untuk mengetahui kepentingan dan mengenali kehidupan di dalam laut negara kita seperti jenis-jenis ikan, penyu serta terumbu karang yang memainkan peranan penting dalam ekosistem laut, dan melindunginya daripada mengalami kemusnahan akibat pencemaran yang kita sendiri lakukan tanpa disedari.