PPNBD mengimarahkan Ramadan

PPNBD mengimarahkan Ramadan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Keagamaan, baru-baru ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran serta majlis berbuka puasa, menunaikan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah serta sembahyang sunat Tarawih yang berlangsung di Balai Ibadah PPNBD di Jalan Gadong.

Kira-kira 100 orang ahli pengakap menghadiri majlis berkenaan dengan dihadiri oleh Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, setiausaha agung, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, pegawai eksekutif pengakap, para pemimpin pengakap, ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa khatam yang telah dipimpin oleh Pesuruhjaya Bahagian Keagamaan, Haji Othman bin Durani diikuti dengan bacaan Takhtim oleh ahli-ahli pengakap.

Sebanyak dua kumpulan telah menyertai pembacaan tadarus ayat-ayat suci Al-Quran sepanjang bulan Ramadan 2015, yang terdiri daripada kumpulan peringkat kebangsaan dan bahagian pengakap perempuan.

Salah seorang peserta menerima sijil penyertaan Khatam Al-Quran.
Salah seorang peserta menerima sijil penyertaan Khatam Al-Quran.
Sebahagian daripada ahli pengakap perempuan yang menyertai Khatam Al-Quran di Balai Ibadah PPNBD di Jalan Gadong.
Sebahagian daripada ahli pengakap perempuan yang menyertai Khatam Al-Quran di Balai Ibadah PPNBD di Jalan Gadong.

Acara seterusnya diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh semua ahli pengakap dan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta khatam oleh Dato Paduka Haji Idris.

Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan itu adalah sebahagian daripada kegiatan keagamaan yang dijalankan setiap tahun bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia selain meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda di bulan suci ini.

Ia bertujuan untuk menyuntik semangat cintakan kitab suci Al-Quran di samping menerapkan budaya membaca Al-Quran dalam kalangan ahli dan beramal sebagai panduan kehidupan dengannya serta mengeratkan hubungan silaturahim.

ARTIKEL YANG SAMA