PPNBD meterai MoU 3 persekutuan

PPNBD meterai MoU 3 persekutuan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) terus berusaha untuk meningkatkan lagi hubungan dan pertukaran kemahiran, ilmu pengetahuan serta kepakaran dalam ilmu pengakap menerusi kerjasama dengan persekutuan-persekutuan pengakap serantau.

Sehubungan dengan itu, PPNBD telah memeterai memorandum persefahaman dengan tiga persekutuan pengakap di Borneo dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) cawangan Negeri Sabah, cawangan Negeri Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan dan menyaksikan penandatangan memorandum berkenaan ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas.

Turut hadir dan menandatangani bagi pihak PPNBD ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, naib-naib yang di-pertua, timbalan ketua pesuruhjaya, setiausaha agung PPNBD, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, ketua pegawai eksekutif pengakap, pegawai eksekutif pengakap, para pemimpin pengakap dan penolong pemimpin pengakap.

Sementara itu, bagi pihak PPM diwakili oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara PPM merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Datuk Dr. Awang Zaini bin Haji Suntim, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak, Haji Mohamed Said bin Haji Bolhassan dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Hong Heng Chee serta pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dari ketiga-tiga negeri berkenaan.

Haji Awang Badar ketika menandatangani MoU dengan wakil Pengakap Negeri Sabah.
Haji Awang Badar ketika menandatangani MoU dengan wakil Pengakap Negeri Sabah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, pihak PPNBD dan PPM ketiga-tiga cawangan berminat untuk bekerjasama dengan menggabungkan sumber yang ada dan yang bakal diperoleh melalui kepakaran dan kemahiran masing-masing untuk kepentingan bersama dalam bidang yang diterokai terutama dalam aspek kepengakapan.

Di samping itu, PPNBD dan PPM cawangan Sabah, Sarawak serta PPM Labuan akan turut bekerjasama dalam hal yang berkaitan dengan latihan kepengakapan serta pertukaran program di bawah seliaan keempat-empat pihak yang terlibat.

Oleh itu, dengan pemeteraian memorandum berkenaan, keempat-empat pihak akan merekodkan dasar-dasar persefahaman antara satu sama lain dan menyatakan bidang-bidang kerjasama yang akan dilaksanakan.

MoU itu bertujuan untuk menjalin kerjasama dalam aspek pertukaran pelajar dan pemimpin daripada PPNBD dan PPM tiga cawangan berkenaan serta mengadakan kerjasama dalam program latihan kepengakapan dan program pembangunan modal insan.

Ia juga bagi mengadakan pelbagai program di luar bidang kepengakapan dan usaha sama dalam bentuk pertukaran program dewasa atau pelajar yang dipersetujui oleh keempat-empat pihak dalam memberikan pengetahuan dan kemahiran kalangan ahli dan pemimpin pengakap masing-masing.

Selain itu ia juga bertujuan meningkatkan kemajuan, kemahiran dan pembangunan kepengakapan dalam kalangan pihak-pihak yang terlibat dalam bentuk perkongsian maklumat dan pendedahan yang dijangka akan dapat memberikan manfaat kepada PPNBD dan PPM dari ketiga-tiga cawangan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA