PPNBD rai rombongan Indonesia

PPNBD rai rombongan Indonesia

Oleh Hamdanajib bin Haji Domeng

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), malam kelmarin, telah mengadakan Malam Kebudayaan bagi mengalu-alukan rombongan Gerakan Pramuka Ranting Pontianak Tenggara, Indonesia yang mengadakan lawatan muhibah ke negara ini selama tiga hari.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas dan Ketua Pesuruhjaya, Haji Badar bin Haji Mohd Ali serta para pemimpin PPNBD.

Rombongan dari Pontianak itu diketuai oleh Bapak Sy, Bachtiar Al-Mutahar dengan disertai 10 orang pemimpin/guru dan 23 orang penuntut dari tiga buah sekolah di Pontianak Tenggara.

Lawatan muhibah yang bermula 18 September lalu hingga hari ini itu merupakan lawatan pertama Gerakan Pramuka Ranting Pontianak Tenggara ke Brunei Darussalam.

Gambar ramai rombongan yang diraikan.
Gambar ramai rombongan yang diraikan.

Ia bertujuan untuk bertukar-tukar pengalaman dan berkongsi kebudayaan yang boleh dipelajari bersama di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta memupuk perasaan muhibah dalam kalangan ahli pengakap dan Pramuka.

Antara kegiatan yang dijalankan semasa lawatan itu termasuk lawatan ke Ibu Pejabat PPNBD serta perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya PPNBD, dan pemimpin-pemimpin di Daerah Brunei dan Muara.

Selain bertukar-tukar maklumat, rombongan juga dibawa melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Bandar Seri Begawan serta beberapa tempat lain di negara ini.

Sebelum meninggalkan negara, rombongan juga diraikan pada majlis perlepasan di Sungai Liang oleh Persatuan Pengakap Daerah Belait serta Tutong.