PPNBD sertai Jambori jalur lebar

PPNBD sertai Jambori jalur lebar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Ahli-ahli pengakap di seluruh dunia sama-sama mengambil bahagian dalam Jambori Pengakap yang terbesar di peringkat dunia iaitu Jambori Di Udara ke-58 dan Jambori Di Internet ke-19 (JOTA & JOTI) yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin hingga hari ini (18 Oktober).

Sehubungan dengan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Kelab Radio Amatur Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, tidak ketinggalan bersama ahli-ahli pengakap dunia mengambil bahagian dalam jambori terbesar dunia itu.

Lebih daripada 200 orang ahli pengakap yang terdiri daripada ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Kelana, Pengakap Udara, Pengakap Laut dan pemimpin-pemimpin Pasukan Pengakap menyertai kegiatan selama dua hari yang membawa tema, ‘Dunia Ini Milik Kita’.

Pada 2015, Kelab Radio Amatur Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam telah membuka dua buah stesen radio amatur untuk ahli-ahli pengakap bagi mengikuti kegiatan berkenaan iaitu di Tingkat 4, Ruang Legar Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong dengan menggunakan tanda panggilan,V84CBS, dan di Daerah Tutong, di Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Tutong di P.W.D., No.46, Simpang 87, Jalan Bukit Bendera dengan menggunakan tanda panggilan, V84CDT.

Dato Paduka Haji Idris turut berhubung melalui talian jalur lebar skype dengan Datuk Dr. Mohd Sharum, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia.
Dato Paduka Haji Idris turut berhubung melalui talian jalur lebar skype dengan Datuk Dr. Mohd Sharum, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis perasmian kegiatan itu ialah Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji A. Hapidz, Setiausaha Agung Pengakap, Haji Zainuddin bin Haji Ja’afar, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pegawai eksekutif pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap dan penolong-penolong pemimpin pengakap serta ahli-ahli pengakap.

Semasa majlis berkenaan, Dato Paduka Haji Idris berpeluang untuk berkomunikasi iaitu berhubung melalui talian jalur lebar dengan skype secara serentak persidangan video dengan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Persekutuan Pengakap Malaysia, Datuk Dr. Mohamad Sharum bin Osman di Semenyih Resort, Negeri Selangor dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak, Sudaryo bin Haji Osman di Bandaraya Kuching, Negeri Sarawak, Malaysia.

Dalam acara jambori itu, para ahli pengakap berpeluang secara langsung membuat sidang video dengan rakan-rakan pengakap di Semenyih Resort, Negeri Selangor, Daerah Kuching, Negeri Sarawak, Daerah Telipud & Tonggod, Negeri Sabah, Taiwan dan Bangladesh.

Di majlis itu juga, Dato Paduka Haji Idris juga dibawa menyaksikan Pameran Lencana JOTA & JOTI mengenai jambori berkenaan yang turut dipamerkan.

Kegiatan JOTA & JOTI dijalankan pada setiap minggu ketiga bulan Oktober setiap tahun di mana keunikan jambori itu adalah setiap ahli pengakap yang menyertainya telah dapat berhubung di antara satu sama lain dengan ahli-ahli pengakap di seluruh dunia dengan menggunakan peralatan radio amatur yang berfrekuensi tinggi (HF dan VHF) serta melalui talian sembang di Internet atau atas talian yang telah dikhaskan untuk kegiatan itu serta berjaya membuat sidang video melalui talian ‘skype’.

Semasa jambori dua hari itu, ahli-ahli pengakap di Brunei telah berjaya membuat perhubungan melalui radio amatur kepada lebih 50 buah negara manakala melalui hubungan talian jaringan jalur lebar menggunakan skype dan facebook pula hampir 60 buah negara telah dapat dihubungi.

Melalui kegiatan itu, dihasratkan ahli-ahli pengakap berpeluang dan lebih berkeyakinan untuk berhubung dengan rakan-rakan pengakap yang tidak dikenali yang berada beribu kilometer dari Negara Brunei Darussalam serta dapat mengetahui betapa pentingnya peranan peralatan komunikasi boleh mempengaruhi kehidupan masa kini dalam arus pemodenan teknologi yang serba maju dan canggih.