PPP rancang pembangunan bersepadu

PPP rancang pembangunan bersepadu

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Sebagai pendedahan mengenai garis panduan ‘Perkongsian Awam-Swasta’ (PPP), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) telah mengendalikan Seminar Perlaksanaan Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan melalui PPP yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, Kampung Rimba, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Awang Goh King Chin dan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor.

Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail dalam ucapannya memberitahu, di bawah PPP, satu projek sedang dalam penilaian untuk dilaksanakan iaitu projek pembangunan bersepadu yang melibatkan 12 buah rumah kedai di Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Bangunan Pusat Komersial Bumiputera dan Bangunan Letak Kereta Bertingkat di Jalan Cator.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menghadiri Seminar Perlaksanaan Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan di Institut Perkhidmatan Awam, Kampung Rimba, semalam.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menghadiri Seminar Perlaksanaan Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan di Institut Perkhidmatan Awam, Kampung Rimba, semalam.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman menyampaikan ucapan.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman menyampaikan ucapan.
Seminar berkenaan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta tentang garis panduan yang akan diguna pakai bagi melaksanakan projek-projek PPP yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan.
Seminar berkenaan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta tentang garis panduan yang akan diguna pakai bagi melaksanakan projek-projek PPP yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan.

Menurut beliau, seminar itu bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang garis panduan PPP, yang katanya, dengan adanya garis pandu ini akan dapat diguna pakai bagi melaksanakan projek-projek PPP yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai beberapa projek yang dibiayai oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang sedang giat dilaksanakan di kawasan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Antaranya adalah jambatan yang menghubungkan Kampung Sungai Kebun dengan Jalan Residency, Pembesaran Jalan Residency Fasa II dan dua buah interchange iaitu Interchange Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Jalan Pengiran Babu Raja dan Interchange Jalan Gadong, Lebuh Raya Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan Jalan Telanai.

Manakala bagi projek yang berkaitan dengan Regenerasi Eko-Koridor Sungai Kedayan, beliau berkata, dua projek baru telah diluluskan iaitu Projek Dredging Works bagi Zon A Sungai Kedayan dan Projek Menimbuk dan Menambak dari Kuala Sungai Kedayan ke Jambatan Edinburgh, yang menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan setentunya akan meningkatkan keindahan persekitaran Bandar Seri Begawan dan akan dapat mengubah landskap sebahagian kawasan ibu negara.

Pada seminar berkenaan, taklimat mengenai PPP telah disampaikan oleh Pengarah Perancangan, JPKE, Haji Aminuddin bin Haji Mohd Taib, yang menjelaskan secara terperinci manfaat PPP bagi kedua-dua belah pihak kerajaaan dan pihak swasta.

Antara manfaat itu adalah keupayaan untuk membangunkan infrastruktur baru walaupun terdapat kekangan fiskal jangka panjang, nilai kewangan yang lebih baik melalui kecekapan dalam perolehan, pembinaan dan operasi, kualiti perkhidmatan yang lebih baik dan berinovatif melalui kepakaran sektor swasta dan penggunaan Petunjuk Prestasi Utama, perolehan tidak memerlukan perbelanjaan tunai pada peringkat awal dan perolehan PPP ini mengendalikan risiko dan beban kos kepada pihak yang lebih kompeten dalam menguruskannya.

Taklimat ini adalah bertepatan diadakan memandangkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan pada masa ini sedang giat mempromosi projek-projek yang difikirkan dapat dilaksanakan melalui PPP.

Dalam seminar itu, taklimat ‘Overview on Bandar Seri Begawan Development Master Plan, Potential PPP Project and Challenges juga telah disampaikan oleh Ketua Unit Pelan Induk di Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan, Pengiran Junaidi bin Pengiran Haji Bakar yang antara lain menyentuh mengenai projek PPP yang dicadangkan dalam Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan serta cabaran yang dihadapi.

Beliau berkongsi 10 objektif strategi dan antara yang difokuskan dalam projek PPP tersebut termasuk, menaik taraf status Bandar Seri Begawan sebagai sebuah bandar, sebagai pusat kerajaan dan pentadbiran, memperkukuhkan lagi imej Bandar Seri Begawan sebagai sebuah bandar yang selamat, mesra dan bandar yang meriah, Bandar Seri Begawan sebagai destinasi pelancong yang menarik perhatian dengan ciri-ciri unik seperti budaya, khazanah dan sejarah.

ARTIKEL YANG SAMA