PPPBD sambut Hari Kedamaian Sedunia 2015

PPPBD sambut Hari Kedamaian Sedunia 2015

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Siti Nur Wasimah S

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Lebih 50 ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), telah menyertai acara walkaton sempena Majlis Sambutan Hari Kedamaian Sedunia Tahun 2015 yang bermula dan berakhir di ibu pejabat persatuan berkenaan, hari ini.

Acara ini merupakan salah satu kegiatan tahunan persatuan berkenaan yang antara lain bertujuan untuk mempromosi amalan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal dan riadah seterusnya meningkatkan serta mengukuhkan perasaan muhibah dan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan.

Antara yang menyertai dalam acara itu ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Ali.

Acara dimulakan dengan sesi memanaskan badan di kawasan lapang ibu pejabat persatuan seterusnya acara walkaton sejauh lima kilometer.

Hajah Siti Hafsah (kanan) dan Hajah Viviyanti (dua dari kanan) semasa menyertai walkaton sempena Majlis Sambutan Hari Kedamaian Sedunia Tahun 2015.
Hajah Siti Hafsah (kanan) dan Hajah Viviyanti (dua dari kanan) semasa menyertai walkaton sempena Majlis Sambutan Hari Kedamaian Sedunia Tahun 2015.
Acara senam robik oleh ahli-ahli persatuan sebelum memulakan acara walkaton.
Acara senam robik oleh ahli-ahli persatuan sebelum memulakan acara walkaton.

Sambutan Hari Kedamaian PPPBD diraikan pada setiap 21 September dan tahun ini sambutan membawa tema ‘Partnerships For Peace – Dignity for All’.

Bersempena dengan sambutan pada tahun ini, PPPBD telah merancang beberapa kegiatan termasuk kegiatan Sehari Bersama Pandu Puteri Tunas yang telah diadakan pada September lalu dan Majlis Doa Kesyukuran, Solat Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah.

PPPBD pada tahun sebelumnya juga telah mengadakan beberapa aktiviti termasuk Walk for Peace dan International Peace Day Quest.

ARTIKEL YANG SAMA