PPPMB rai kepulangan peserta seminar dari China

PPPMB rai kepulangan peserta seminar dari China

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) baru-baru ini meraikan tiga ahlinya yang baru pulang daripada menghadiri Seminar Hubungan Dagang dan Ekonomi ASEAN 2016 yang berlangsung di Bandaraya Nanning, Wilayah Guangxi, Republik Rakyat China.

Ketiga-tiga wakil negara yang menghadiri seminar yang bermula 15 hingga 28 April 2016 itu ialah Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, Awang Mohd Ruzymaselysan @ Mohd Azim bin Seruji dan Dayangku Sarah Khairunnisa binti Pengiran Haji Abdul Rahman.

Dalam kenyataannya hari ini, PPPMB berkata, wakil negara bersama para peserta dari negara-negara ASEAN yang lain diraikan pada satu majlis yang berlangsung di Hotel Shanzan, China.

Seminar itu dianjurkan oleh Sekretariat Ekspo China-ASEAN dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Republik Rakyat China.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan pada 26 April lalu, PPPMB sekali lagi merealisasikan matlamat perjuangannya untuk merangsang pertumbuhan usahawan muda apabila salah seorang ahli yang diberi peluang meraih pengalaman di China berjaya untuk mengongsikan pengalamannya.

Awang Mohd Ruzymaselysan dan Pengiran Zamri (berdiri, ketiga dan keempat dari kiri) serta Dayangku Sarah Khairunnisa (duduk, lima dari kiri) bergambar bersama peserta seminar yang lain.
Awang Mohd Ruzymaselysan dan Pengiran Zamri (berdiri, ketiga dan keempat dari kiri) serta Dayangku Sarah Khairunnisa (duduk, lima dari kiri) bergambar bersama peserta seminar yang lain.

Haji Mohd Shahril Amali bin Haji Ibrahim yang juga ahli PPPMB, telah menamatkan Kursus Teknologi Baru Pertanian Tropika bagi Negara Membangun yang diadakan di Bangunan Pentadbiran Akademi Sains Pertanian Tropika Republik Rakyat China CATAS, Republik Rakyat China sejak 6 April 2016.

Kursus itu dianjurkan oleh CATAS dengan bantuan dan sokongan Kementerian Perdagangan Republik Rakyat China.

PPPMB berusaha gigih untuk menggalakkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada para usahawan muda untuk meraih peluang menimba ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan yang mereka usahakan.

Presiden PPPMB, Dr. Haji Abdul Latif bin Chuchu ketika menyatakan pendapatnya mengenai kejayaan PPPMB bekerjasama dengan pejabat Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam untuk membuka ruang kepada ahlinya mengikuti kursus dan seminar perdagangan dan pertanian, percaya bahawa bidang perniagaan seharusnya menjadi pilihan pertama bagi rakyat negara ini.

Menurutnya setelah kembali ke tanah air, ahli persatuan PPPMB yang telah terpilih untuk mengikuti kursus tersebut akan dapat menggunakan kemahiran yang mereka pelajari dan mengongsikan ilmu pengetahuan yang mereka peroleh bersama ahli persatuan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA