PPPNB sertai Jambori Pengakap ASEAN

PPPNB sertai Jambori Pengakap ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) akan menghantar 16 ahlinya untuk menyertai Jambori Pengakap ASEAN kali ke-5 bermula 15 September ini di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Negeri Terengganu Darul Iman, Malaysia yang akan dirasmikan pada 17 September.

Sehubungan itu, majlis penyerahan Bendera Kebangsaan telah berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas kepada Ketua Kontinjen PPNBD, Haji Mohammed bin Haji Ali yang juga selaku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tutong.

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; Setiausaha Agong PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Mohd Zali bin Haji Arsad; pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pegawai eksekutif pengakap serta peserta jambori.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, hari ini, wakil peserta PPNBD seramai enam orang pemimpin pengakap dan 10 orang ahli pengakap muda dan pengakap remaja akan sama-sama menyertai lebih 9,000 peserta pengakap terdiri daripada 12 buah negara lain iaitu Kemboja, Indonesia, Filipina, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam, Sri Lanka, India, Korea Selatan di samping negara tuan rumah Malaysia pada jambori itu nanti yang bertemakan ‘Kepelbagaian Kebudayaan dan Warisan’.

Dato Paduka Haji Idris ketika menyerahkan Bendera Kebangsaan kepada Haji Mohammed di Ibu Pejabat PPNBD.
Dato Paduka Haji Idris ketika menyerahkan Bendera Kebangsaan kepada Haji Mohammed di Ibu Pejabat PPNBD.

Jambori selama enam hari itu menyediakan pelbagai kegiatan yang bercorak kemahiran dan cabaran yang dirancang untuk mencabar daya tahan fizikal dan mental peserta yang menyertainya.

Antara aktiviti yang akan disertai oleh setiap peserta ialah kegiatan kebudayaan, permainan tradisional, persembahan tradisional, pakaian tradisional, kraf tangan, forum belia pengakap, pertalian persahabatan dan lawatan pendidikan.

Sebagai persediaan awal untuk menyertai jambori ini, peserta kontinjen PPNBD sedang giat melaksanakan latihan tarian tradisional bagi memantapkan persembahan kebudayaan yang akan dipersembahkan semasa jambori itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA