PPPR puas hati usaha Sarawak tangani isu rasuah

PPPR puas hati usaha Sarawak tangani isu rasuah

KUCHING, 29 Okt (Bernama) – Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajan negeri Sarawak dalam melaksanakan pelbagai usaha memastikan isu-isu berkaitan gejala rasuah ditangani dengan baik.

Pengerusinya Tan Sri Johan Jaafar berkata banyak kenyataan serta tindakan yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dilihat sesuai dan tepat, sebagaimana yang diharapkan oleh panel itu.

Beliau memberi contoh ekoran keseriusan Ketua Menteri menangani isu rasuah yang berkaitan dengan pembalakan haram, katanya beliau difahamkan banyak kilang kayu sudah ‘gulung tikar’ kerana gagal mendapatkan bekalan kayu dari sumber yang sah.

“Kami dapat merasakan bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri ini akan membuahkan hasil yang lebih baik lagi di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Adenan di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Turut bersama beliau dalam kunjungan hormat itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali dan Pengarah SPRM Sarawak, Badrul Shah Norman.

Tan Sri Adenan Satem (depan, tengah) bergambar kenangan bersama delegasi SPRM yang ketuai Tan Sri Johan Jaafar (depan, dua kanan) yang membuat kunjungan hormat ke atas ketua menteri itu di Kuching, semalam. – Bernama
Tan Sri Adenan Satem (depan, tengah) bergambar kenangan bersama delegasi SPRM yang ketuai Tan Sri Johan Jaafar (depan, dua kanan) yang membuat kunjungan hormat ke atas ketua menteri itu di Kuching, semalam. – Bernama

Johan berkata antara yang dibincangkan dalam perjumpaan itu ialah pelbagai langkah yang dirasakan dapat menghindari lagi gejala rasuah, termasuk usaha memperkukuh sistem perkomputeran di samping menambah baik aspek pengurusan jabatan-jabatan yang berkaitan.

Selain itu, menurutnya jabatan-jabatan serta agensi penguat kuasa juga perlu diperkukuh, sebagaimana yang diingatkan oleh Ketua Menteri beberapa kali agar agensi pelaksana kerajaan menjalankan tugas mereka secara jujur dan profesional.

Katanya di pihak PPPR, beliau akan terus memberi tumpuan kepada hubungan ke atas semua pihak dalam memupuk kesedaran terhadap usaha membanteras rasuah, dan menurutnya kepimpinan Sarawak merupakan negeri kedua ‘dikunjungi’ PPPR selepas Melaka.

“Daripada dua pertemuan ini, nampaknya ia membuahkan hasil sangat baik apabila kedua-dua kerajaan negeri ini memberikan komitmen tinggi untuk membantu SPRM dalam soal berkaitan usaha membanteras rasuah,” katanya.