PPS bersedia 24 Jam tangani jenayah sekolah

PPS bersedia 24 Jam tangani jenayah sekolah

TAWAU, 23 Feb (Bernama) – Pegawai polis yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di sekolah di daerah ini bersedia 24 jam untuk menangani sebarang gejala negatif dan jenayah di sekolah.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata pengetua dan guru besar boleh menghubungi PPS tersebut pada bila-bila masa sekiranya diperlukan bagi menangani masalah berkaitan keselamatan di sekolah.

“Perkara itu perlu dilakukan pengetua atau guru besar agar tindakan agresif mencegah kegiatan negatif dan jenayah dalam kalangan pelajar dapat dilakukan dengan lebih berkesan sekaligus mengelakkan mereka daripada terjebak dengan jenayah lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pengetua dan guru besar daerah ini serta penyerahan watikah pelantikan PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Patrick di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 164 pegawai polis dilantik menjadi PPS bagi 23 buah sekolah menengah dan 59 sekolah rendah di daerah ini.

ACP Fadil Marsus bergambar bersama golongan pendidik dan pegawai polis selepas melantik (PPS) kelmarin. – Bernama
ACP Fadil Marsus bergambar bersama golongan pendidik dan pegawai polis selepas melantik (PPS) kelmarin. – Bernama

Fadil juga berkata PPS perlu berusaha hadir pada setiap majlis perhimpunan di sekolah agar dapat mengetahui maklumat dan perkembangan semasa serta memaklumkan kepada pengetua sekiranya mereka bercuti.

“Kita mahu peranan PPS ini lebih berfungsi. Kita mahu pelajar termasuk guru bermasalah dikenal pasti untuk tindakan pencegahan dan mencari penyelesaian. Jika (PPS) perlu ke rumah pelajar, kita akan lakukan. Kita mahu mencegah jenayah dalam kalangan pelajar,” tegasnya.

Fadil berkata daerah Tawau berada di tempat kedua mencatatkan indeks jenayah tertinggi di Sabah selepas Kota Kinabalu dan daripada kes jenayah yang direkodkan itu terdapat kes dadah, pecah rumah dan curi melibatkan pelajar.

Justeru, Fadil berkata pencegahan jenayah dan dadah memerlukan kerjasama semua pihak khasnya sekolah untuk mengatasinya.

ARTIKEL YANG SAMA