Prasarana sedia bawa lebih 2 juta jemaah haji

Prasarana sedia bawa lebih 2 juta jemaah haji

MEKAH, 4 Sept (Bernama) – Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kini giat melakukan latihan simulasi 24 jam bagi memastikan kelancaran operasi kereta api Makkah Metro, yang dijangka digunakan lebih dua juta jemaah haji.

Beroperasi selama 24 jam selama tujuh hari mulai 7 Zulhijah (21 Sept) sehingga 13 Zulhijah, perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugadassah Makkah Metro itu akan membawa jemaah haji melaksanakan ibadat-ibadat yang ditetapkan dalam Rukun Islam kelima.

Pengarah Projek Al Mashaaer Al Mugaddasah untuk syarikat Prasarana, Khairani Mohamed berkata latihan simulasi itu dilakukan sejak 30 Ogos lepas, dan pihaknya kini bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan kejayaan operasi itu kelak.

“Beroperasi dengan 15 tren sepenuh masa dengan dua lagi diletakkan dalam keadaan bersedia atau ‘stand-by’ di depot yang terletak berdekatan dengan Arafah, operasi yang diterajui oleh Prasarana itu dijangka mengendalikan kira-kira 370,000 penumpang sehari,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebanyak 423 petugas Malaysia daripada Prasarana, Express Rail Link (ERL) dan Kereta api Tanah Melayu akan memimpin lebih 7,000 pekerja tempatan bagi melaksanakan operasi tren, yang menghubungkan Mina, Muzdalifah dan Arafah, yang merupakan lokasi-lokasi rukun dan wajib dalam menyempurnakan ibadat haji.

Perkhidmatan Makkah Metro yang dikendalikan Prasarana kini giat melakukan latihan simulasi 24 jam bagi memastikan kelancaran operasi kereta api Makkah Metro. – Bernama
Perkhidmatan Makkah Metro yang dikendalikan Prasarana kini giat melakukan latihan simulasi 24 jam bagi memastikan kelancaran operasi kereta api Makkah Metro. – Bernama

Perkhidmatan Makkah Metro dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan menuju ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Bayangkan sekiranya kesemua 370,000 jemaah ini menggunakan kenderaan persendirian, teksi ataupun bas, kesesakan lalu lintas amat teruk, dengan adanya perkhidmatan rel, kesesakan lalu lintas dikurangkan dengan signifikan,” katanya.

Prasarana memperoleh kontrak operasi dan penyelenggaraan sepenuhnya laluan Al Mashaaer Al Mugaddasah–Makkah Metro dari Arafah ke Mina selama tiga tahun bermula tahun ini (2015) sehingga 2017. Kontrak itu bernilai Saudi Riyal (SR) 807 juta.

Perkhidmatan kereta api itu akan membawa jemaah haji dari Afrika Utara, Asia Selatan dan negara-negara Teluk.

Khairani berkata persiapan rapi dilakukan pihaknya bagi memastikan kelancaran operasi itu kelak.

“Operasi ini unik, bukan saja daripada aspek operasi untuk tujuh hari sahaja dalam setahun dan jumlah bilangan penumpang yang cukup besar pada satu masa. Operasi ini menggunakan tren yang panjang sehingga 12 gerabak, yang secara keseluruhannya mempunyai 120 pintu untuk keluar masuk,” katanya.

Beliau menjelaskan, kesemua pintu dikawal secara automatik dan adalah penting untuk para petugas memastikan tiada pintu yang terhalang bagi memastikan operasi yang lancar.

“Satu cabaran besar kami adalah sebilangan daripada yang akan datang nanti akan menggunakan perkhidmatan tren untuk pertama kali, ada jemaah yang tidak pernah menaiki tren, selain masalah bahasa,” kata Khairani.

Katanya, terdapat lima pergerakan tren itu nanti iaitu Pergerakan A bermula 4 pagi 7 Zulhijah (21 Sept) hingga 7 malam 8 Zulhijah (22 Sept) – Operasi normal iaitu tren akan berhenti di setiap sembilan stesen – Arafah 1, Arafah 2, Arafah 3, Muzdalifah 1, Muzdalifah 2, Muzdalifah 3, Mina 1, Mina 2 dan Jamarat (Mina 3).

Pergerakan B bermula 8 malam 8 Zulhijah (22 Sept) hingga 10 pagi 9 Zulhijah (22 & 23 Sept) – pergerakan antara Mina dan Arafah dengan empat jadual pergerakan untuk menghantar jemaah secara teratur ke Arafah untuk Hari Wukuf.

Pergerakan C pada 9 Zulhijjah (23 Sept) antara pukul 6 petang hingga 11 malam – pergerakan dari Arafah ke Muzdalifah untuk membawa keluar semua jemaah di Padang Arafah ke Muzdalifah untuk bermalam di Muzdalifah. Pergerakan D dari pukul 11.30 malam 9 Zulhijah (23 Sept) sehingga 8.30 pagi 10 Zulhijah (24 Sept) – pergerakan dari Muzdalifah ke Mina untuk jemaah bermalam di Mina.

Pergerakan E dari 9 pagi 10 Zulhijah (24 Sept) dan sepanjang hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah/25, 26 dan 27 September) – pergerakan tren untuk membawa jemaah daripada Mina (1 & 2) dan Muzdalifah (3) untuk ke Jamarat (Mina 3) bagi ibadat melontar.