Prasarana ter...

Prasarana terbiar dan terbengkalai

CUTI sekolah yang sudah masuk minggu ketiga ini, saya mengambil masa menyusuri halaman beberapa buah sekolah rendah di Daerah Brunei dan Muara dan Tutong untuk meninjau keadaan prasarananya.

Alhamdulillah, kebanyakannya diurus dengan baik namun hampir sedozen sekolah rendah hanya mampu membiarkan prasarana seperti padang futsal serta trek dan balapan ditumbuhi lalang yang mungkin mengandungi haiwan-haiwan berbisa dan berbahaya.

Adakah pihak yang berkenaan kekurangan tenaga manusia bagi memastikan keadaannya terjaga secara konsisten? Mana dia laungan dari para penganggur mahupun Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) yang kononnya memastikan setiap penganggur memiliki kerja yang bersesuaian dan di masa yang sama menyumbang kepada kemakmuran Negara?

Yang sedihnya pihak yang berkenaan mungkin terlepas pandang atau sengaja membiarkan perkara ini berlaku walhal jika diuruskan dengan sempurna, boleh menyumbang kepada terisinya jawatan kosong seperti pengurus padang atau pengurus prasarana yang bekerja setiap hari kerja.

Malah prasarana ini boleh disewakan kepada masyarakat sekeliling dan juga NGO bagi menyumbang kepada ekonomi sekolah atau sekurang-kurangnya terisi ‘kantung petty cash’ sekolah atau jabatan.

Tidak hairanlah dengan berlarutannya perkara sebegini, negara kita jauh daripada mencapai kemajuan ekonomi yang diharapkan dengan wujudnya personnel yang memandang sambil lewa dan keberatan melakukan sesuatu apa pun. Semangat patriotik mereka sudah tidak lagi dapat dikesan malah tidak lagi wujud seolah-olah mereka mahu ‘batu datang bergolek’ membawa rezeki yang belum tentu direstui.

Kepada pembaca yang tergolong dalam golongan ini, sedarlah yang kita membiarkan negara kita dijajah oleh perasaan acuh tak acuh, endah tak endah yang bakal menjerumuskan kita ke kancah kemelesetan ekonomi.

Sudah lama kita dibuai istilah negara kebajikan, kini tiba masanya kita bangun dan bangkit memastikan sikap ini disisihkan dan kita semua turut menyumbang kepada kebangkitan ekonomi negara kita yang sudah lama ditakuk lama. Renungkanlah. – Pemerhati Prihatin, Bunut

ARTIKEL YANG SAMA