P’raya presiden Seychelles masuki pusingan kedua

P’raya presiden Seychelles masuki pusingan kedua

VICTORIA, 6 Dis – Penduduk Seychelles akan membuang undi dalam pilihan raya presiden pada 16 Disember selepas kesemua enam calon dalam pusingan pertama gagal memperoleh 50 peratus daripada bahagian pengundian, kata pengerusi suruhanjaya pilihan raya hari ini.

Negara gugusan kepulauan Lautan Hindi yang terdiri daripada 115 pulau dan 93,000 penduduk mengundi untuk memilih seorang presiden baru pada 3 Disember dalam pengundian selama tiga hari.

Presiden James Michel, 71, memenangi 47.76 peratus daripada 62,004 undi yang dibuang, sementara pencabar terdekatnya, Wavel Ramkalawan, paderi Anglican berusia 54 tahun, memperoleh 33.93 peratus.

“Kami perlu memasuki pusingan kedua,” kata Hendrick Gappy, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Seychelles.

Michel, yang menunjukkan kelayakan ekonominya ketika kempen, berkata keputusan menunjukkan Parti Lepep, atau Parti Rakyat di Creole, masih menguasai.

“Kami mempunyai lebih banyak undi berbanding mana-mana parti lain. Kami terlepas sebanyak dua peratus sahaja. Kami bersedia untuk mengadakan pusingan kedua,” kata beliau.

Ekonomi, yang bergantung kepada pelancongan tetapi juga mempunyai perikanan yang berkembang dan industri perkhidmatan kewangan, diramalkan bertumbuh sebanyak 4 peratus pada 2015, menurut Tabung Mata Wang Antarabangsa.

Ramkalawan, yang bertanding menggunakan Parti Nasional Seychelles, mengucapkan terima kasih kepada pengundinya kerana membantu mengadakan pusingan kedua untuk kali pertama. – Reuters