Prayut digesa siasat adik sendiri

Prayut digesa siasat adik sendiri

BANGKOK, 25 Sept – Perdana menteri wanita pertama Thailand hari ini memberitahu lelaki yang telah menyingkirkan kerajaannya dua tahun lalu supaya menyiasat adiknya sendiri berhubung dakwaan rasuah, dalam kritikan hebat luar biasa terhadap junta.

Yingluck Shinawatra disingkirkan dari jawatannya sejurus sebelum ketua tentera Prayut Chan-O-Cha (gambar) merampas kuasa pada Mei 2014, rampasan kedua tentera dalam tempoh kurang satu dekad dan rampasan kuasa ke-12 tentera yang berjaya sejak 1932.

Sejak itu Yingluck telah berdepan dengan siri-siri pendakwaan diketuai junta termasuklah pendakwaan yang diundurkan tarikh, perbicaraan kecuaian jenayah yang sedang berjalan yang mungkin menyaksikannya dipenjara sehingga sedekad dan langkah berasingan untuk mendapatkan lebih $1 bilion dolar dalam bentuk ganti rugi awam.

Dua kes undang-undang terakhir berpunca daripada skim subsidi beras yang popular tetapi mahal dari segi kewangan yang diusahakan oleh kerajaan Yingluck.

“Perdana Menteri Prayut berkata semua tindakan undang-undang ke atas saya adalah berdasarkan undang-undang dan bukan membuli,” Yingluck menulis dalam akaunnya di Facebook hari ini.

“Saya mahu Perdana Menteri menggunakan kelogikan dan keadilan sama yang pernah diberikan kepada saya seperti beliau memberikan keadilan dan perlindungan kepada adiknya dan orang lain yang di pihaknya. Ini kerana undang-undang seharusnya dikuatkuasakan untuk semua orang, bukan saja digunakan ke atas pihak saya.”

Ulasan Yingluck itu adalah rujukan langsung kepada dakwaan rasuah baru yang muncul bulan ini ke atas adik Perdana Menteri Prayut, Preecha Chan-O-Cha yang juga jeneral kanan tentera.

Media tempatan berkata salah seorang anak lelaki Preecha telah mendapat siri-siri kontrak pembinaan menguntungkan dari Third Army, Thailand yang pernah dikawal oleh Preecha.

Preecha menegaskan anak lelakinya mendapat kontrak dalam proses tender yang adil dan menafikan sebarang salah laku. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA