Premis dijadikan tempat tinggal

Premis dijadikan tempat tinggal

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Seorang peniaga di Gerai Malam Tamu Selera, Jalan Dato Taib di ibu negara merayu pihak berkuasa Jabatan Bandaran supaya mempertimbangkan alasan beliau menjadikan premis gerai itu sebagai tempat tinggal bagi beliau, isteri dan anaknya.

Haji Abdul Rahman bin Haji Khamis juga menyuarakan kekecewaannya kerana pegawai Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan yang datang memeriksa premis gerainya beberapa bulan lalu mendakwa tempat tinggal itu adalah untuk pembantu gerainya, satu dakwaan yang menurutnya, adalah tidak benar.

Pada 8 Disember 2015, beliau menerima surat amaran peringatan kedua daripada Jabatan Bandaran yang mengarahkan beliau tidak menjadikan gerai itu sebagai tempat tinggal dan memberinya tempoh tujuh hari untuk berbuat demikian

Ketika bercakap kepada Media Permata semalam, Haji Abdul Rahman, 57, yang juga seorang bekas anggota tentera dan polis berkata, beliau sudah memulakan perniagaan menjual nasi campur di premis gerai itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Haji Abdul Rahman menunjukkan ruang gerai yang dijadikan tempat tinggal sementara beliau.
Haji Abdul Rahman menunjukkan ruang gerai yang dijadikan tempat tinggal sementara beliau.

Bagaimanapun, semuanya berubah apabila rumahnya yang dikurniakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Delima, Anggerek Desa mula mengalami kerosakan sehingga berbahaya untuk didiami olehnya sekeluarga.

Oleh kerana mengambil kira keselamatan keluarganya dan kekurangan sumber kewangan untuk memperbaiki kerosakan teruk pada rumah berkenaan, maka Haji Abdul Rahman membuat keputusan untuk membawa isteri dan anaknya tinggal di gerai beliau sementara menunggu bantuan pihak berkuasa untuk memperbaiki rumahnya.

Menceritakan mengenai permohonan yang telah dibuatnya, Haji Abdul Rahman berkata, pada Mei 2010 melalui bantuan Ketua Kampung Pancha Delima, Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub, beliau telah membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan bantuan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Jabatan berkenaan kemudiannya memanjangkan permohonan beliau ke Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), namun tidak mendapat kelulusan daripada MUIB.

Masalah tempat tinggal beliau berlanjutan tanpa sebarang keprihatinan daripada pihak berkenaan sehingga memaksa Haji Abdul Rahman mengambil keputusan untuk berpindah ke premis gerai nasi campurnya itu.

Bagaimanapun, pada 8 September 2015, beliau menerima surat peringatan pertama daripada Jabatan Bandaran yang bertajuk ‘Arahan Untuk Tidak Membenarkan Ruang Gerai Jualan Untuk Tempat Tinggal Bagi Pembantu di Petak No. 9 Gerai Malam Tamu Selera, Jalan Dato Taib, Bandar Seri Begawan.’

Walaupun akur dengan arahan itu, keadaan hidupnya memaksa Haji Abdul Rahman untuk terus tinggal di gerai itu kerana bimbangkan keselamatan anak dan isterinya jika mereka pulang ke rumah papan yang hampir roboh dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memperbaikinya.

Kebimbangan beliau memuncak apabila pada 8 Disember 2015 beliau menerima surat peringatan kedua daripada Jabatan Bandaran yang memberinya masa tujuh hari untuk tidak tinggal di premis gerai selera itu.

Sehubungan itu, beliau merayu jasa baik Jabatan Bandaran untuk mempertimbangkan masalah yang beliau hadapi itu dan ketiadaan tempat tinggal yang selamat bagi beliau sekeluarga.

ARTIKEL YANG SAMA