Premis ditutup, diarah jalani kerja pembersihan

Premis ditutup, diarah jalani kerja pembersihan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Nov – Sebuah premis perniagaan telah diarahkan tutup serta-merta oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait, setelah didapati tahap kebersihannya kurang memuaskan.

Jabatan tersebut, dalam laporannya menyatakan, notis penutupan sementara itu dikeluarkan berikutan operasi bersepadu Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait bersama Pejabat Kesihatan, hari ini, dan mendapati premis terbabit telah menyalahi beberapa syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Premis terbabit hanya akan dibenarkan dibuka semula setelah pengusahanya melakukan kerja-kerja pembersihan dan Jabatan Kesihatan berpuas hati dengan tahap kebersihan seperti yang telah ditetapkan.

Semasa operasi tersebut pegawai-pegawai penguatkuasaan juga telah mengeluarkan kompaun sebanyak $100 ke atas seorang individu yang didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12(1) (b) iaitu membuang sebarang benda yang telah beralih atau mungkin beralih ke sebarang tempat awam.

Individu terbabit juga diberikan tempoh selama seminggu untuk membayar denda dan sekiranya gagal akan dikenakan denda sejumlah $1,000 dan jika didapati bersalah buat kali kedua dan seterusnya denda sejumlah $3,000 akan dikenakan dan dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait sekali lagi menyarankan orang ramai dan pemilik-pemilik premis perniagaan supaya menjaga kebersihan dan keselamatan di kawasan premis supaya sentiasa di tahap yang memuaskan.

Menurut unit itu, pemeriksaan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara-perkara seperti menyalahi peraturan dan undang-undang yang telah diperuntukkan oleh jabatan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA