Premis judi siber diserbu

Premis judi siber diserbu

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 14 Jun – Meskipun kerap diserbu, seorang pemilik premis dipercayai mengadakan judi siber masih berdegil dengan menjadikan premisnya sebagai tempat aktiviti haram.

Akibatnya, premis yang terletak di Jalan Wong Tsap En diserbu lagi oleh anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Limbang baru-baru ini.

Dalam serbuan yang dijalankan pada 8:45 malam, seorang lelaki berbangsa Cina, 53, dipercayai penjaga premis ditahan.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata serbuan dijalan oleh anggota polis di ketuai Inspektor Ahmad Iswaizani.

“Hasil pemeriksaaan kita berjaya merampas pelbagai peralatan yang disyaki mengandungi pelbagai perisian judi siber.

“Antaranya lapan unit monitor, lapan unit CPU, lapan unit tetikus dan lapan unit keyboard serta wang tunai RM150,” ujarnya lagi.

Beliau berkata semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Limbang.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 5(1) Ordinan Hiburan 2000.