Premis kedai makan ditutup

Premis kedai makan ditutup

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 17 Dis – Sebuah premis kedai makan di kawasan Mukim Liang telah diarahkan tutup serta-merta kerana didapati tahap kebersihannya yang tidak memuaskan semasa pemeriksaan dalam operasi bersepadu Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait bersama Pejabat Perkhidmatan Kesihatan, Kuala Belait, hari ini.

Sepanjang penutupan itu, pemilik premis tersebut diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan premis tersebut akan dibenarkan untuk menjalankan semula kegiatan seperti biasa sekiranya tahap kebersihannya memuaskan.

Sementara itu, sebuah premis kedai Jahit pula telah diberi amaran kerana telah didapati menyalahi peraturan dan syarat-syarat di bawah Akta Lesen Perniagaan Penggal 127, (pindaan 2015) iaitu menjalankan perniagaan menggunakan lesen perniagaan yang telah mansuh.

Pemilik premis telah diberi masa selama seminggu untuk menyambung lesen perniagaan yang telah mansuh. Sekiranya peraturan tersebut tidak dipatuhi denda sebanyak $10,000 akan dikenakan kepada pemilik premis dan seterusnya denda tidak melebihi $100 setiap hari jika kesalahan masih berterusan.

Notis penutupan kedai makan tersebut dilekatkan serta merta semasa operasi tersebut dijalankan
Notis penutupan kedai makan tersebut dilekatkan serta merta semasa operasi tersebut dijalankan

Operasi yang dilaksanakan ke atas empat buah premis perniagaan kedai runcit, kedai jahit, kedai gunting dan kedai makan di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait itu bertujuan untuk membuat pemeriksaan ke atas kebersihan dan keselamatan persekitaran luar dan dalam premis perniagaan.

Selain itu, untuk memastikan penyelia-penyelia premis mengawal perniagaan dalam keadaan yang selamat serta mematuhi piawaian Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan peraturan serta syarat-syarat di bawah Akta Lesen Perniagaan Penggal 127, (pindaan 2015).

Kebanyakan teguran kepada penyelia premis adalah mengenai dengan cara-cara penyimpanan barang-barang makanan dan minuman serta lain-lain, yang dikhuatiri tatacara penyimpanan yang tidak sesuai akan menjejaskan kualiti dan kesesuaian stok-stok makanan yang lain, lebih-lebih lagi jika melibatkan produk tenusu dan tepung yang boleh mengakibatkan kerosakan dari segi pembaziran serta kemungkinan keracunan makanan.

Perkara ini juga boleh mengundang binatang-binatang dan serangga perosak seperti tikus dan lipas berkeliaran dalam kawasan tempat penyimpanan makanan dan mencemarkan lagi keselamatan dan kesihatan makanan dalam tempat penyimpanan tersebut.

Para penyelia premis juga diberi nasihat oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kuala Belait supaya sentiasa berhubung dengan pihak mereka untuk meminta pendapat dan pandangan mengenai tatacara pengawalan kebersihan dalam premis-premis perniagaan tersebut.

Pemantauan dan rondaan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara-perkara seperti menyalahi peraturan dan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada pihak Jabatan Daerah Belait supaya akan selalu mengawasi kebersihan dan keselamatan di kawasan premis-premis perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA