Premis kedai makan ditutup

Premis kedai makan ditutup

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 6 Dis – Sebuah premis kedai makan di kawasan Mukim Liang telah diarahkan untuk ditutup sementara apabila tahap kebersihannya didapati tidak memuaskan dalam pemeriksaan menerusi operasi bersepadu Bahagian Perlesenan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait.

Notis penutupan itu adalah untuk memastikan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan bagi membolehkan perniagaan beroperasi semula jika kebersihan di tahap yang memuaskan.

Operasi bersepadu bersama Pejabat Perkhidmatan Kesihatan ke atas kedai makan dan minum di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait itu bertujuan untuk memastikan tahap kebersihan dan keselamatan di persekitaran luar dan dalam premis perniagaan.

Selain itu, ia juga untuk memastikan makanan dan minuman berada dalam kawalan yang selamat untuk dimakan oleh pengunjung serta memastikan pengusaha mematuhi piawaian Peraturan Syarat-syarat di bawah Akta Lesen Perniagaan Penggal 127 (pindaan 2015).

Notis arahan tutup sementara ke atas sebuah premis kedai makan di kawasan Mukim Liang, oleh Baha-gian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait.
Notis arahan tutup sementara ke atas sebuah premis kedai makan di kawasan Mukim Liang, oleh Baha-gian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait.

Menurut bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait, kebanyakan teguran yang diberikan kepada penyelia premis adalah tentang cara-cara penyimpanan barangan makanan dan minuman serta lainnya, supaya disimpan mengikut tatacara penyimpanan yang mengikut kaedah yang telah ditetapkan.

Ini adalah bagi menjaga kualiti stok makanan, terutamanya yang melibatkan bahan tenusu dan tepung yang mudah rosak dan boleh menyebabkan keracunan makanan, selain itu ia boleh mengundang binatang-binatang dan serangga perosak seperti tikus dan lipas berkeliaran di kawasan penyimpanan makanan dan mencemarkan lagi keselamatan dan kesihatan makanan tersebut.

Dalam operasi itu, penyelia premis perniagaan juga diberikan nasihat oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Kuala Belait supaya sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai jabatan berkenaan untuk meminta pendapat dan pandangan mengenai tatacara pengawalan kebersihan dalam premis perniagaan.

Jabatan itu turut menekankan bahawa pemantauan dan rondaan akan sentiasa dijalankan, bagi mengelakkan perkara-perkara seperti menyalahi peraturan dan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada pihak Jabatan Daerah Belait, iaitu untuk sentiasa mengawasi kebersihan dan keselamatan di kawasan premis perniagaan di bawah kawalan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA