Presiden China, Taiwan akan bertemu

Presiden China, Taiwan akan bertemu

TAIPEI, 4 Nov (Reuters) – Presiden China, Xi Jinping akan bertemu rakan sejawatnya dari Taiwan, Ma Ying-jeou di Singapura pada Sabtu ini, pertemuan pertama pemimpin kedua-dua negara selepas berakhirnya perang saudara pada 1949.

Pertemuan bersejarah itu diadakan pada masa yang agak sensitif di Taiwan menjelang pilihan raya presiden pada 16 Januari serta ketika meningkatnya sentimen anti-China terutama dalam kalangan generasi muda Taiwan.

Kenyataan daripada pejabat Ma menyebut, pertemuan itu bertujuan ‘mengukuhkan kedamaian merentas selat dan mengekalkan status-quo’. Ma tidak akan memeterai sebarang perjanjian, ataupun menerbitkan sebarang kenyataan bersama dengan China selepas pertemuan itu.

Pertemuan Ma Ying-jeou (kiri) dan Xi Jinping Sabtu ini di Singapura bertujuan “mengukuhkan kedamaian merentas selat dan mengekalkan status-quo”. – Reuters
Pertemuan Ma Ying-jeou (kiri) dan Xi Jinping Sabtu ini di Singapura bertujuan “mengukuhkan kedamaian merentas selat dan mengekalkan status-quo”. – Reuters

Dalam pada itu, Zhang Zhijun, ketua Pusat Perhubungan Taiwan di Beijing berkata kedua-dua pemimpin akan berkongsi idea untuk menyuburkan lagi keamanan kedua-dua negara.

“Ini adalah aturan pragmatik yang dicetuskan sejajar dengan prinsip satu-China berhubung keadaan yang mana pertikaian politik merentas Selat Taiwan belum lagi diselesaikan,” kata Zhang seperti yang dipetik media rasmi China, Xinhua.

China menganggap Taiwan sebagai wilayah yang perlu diambil balik, dengan paksa jika perlu, terutama jika wilayah itu bergerak ke arah mengisytiharkan kemerdekaan.

ARTIKEL YANG SAMA