Presiden Duterte disambut meriah

Presiden Duterte disambut meriah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Sejurus ketibaan Presiden Republik Filipina, Rodrigo Roa Duterte ke Negara Brunei Darussalam pada petang hari ini, beliau terus mengadakan majlis pertemuan dan beramah mesra bersama rakyat dan warganegara Filipina yang berada di negara ini dalam majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini, malam ini.

Lebih daripada 4,000 rakyat dan warganegara Filipina daripada 23 ribu orang yang berkhidmat dan menetap di negara ini tidak melepaskan peluang mereka untuk berjumpa dengan Presiden Duterte bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap presiden yang baru dilantik pada bulan Mei itu.

Sambutan mesra telah diterima oleh Presiden Duterte dengan tepukan gemuruh dan pengibaran bendera kecil serta laungan “Du-ter-te” daripada rakyat dan warganegara Filipina yang berada di Brunei.

Presiden Duterte dalam ucapannya pada majlis itu antara lain menekankan mengenai kehadiran beliau di Brunei oleh sebab kasih sayangnya terhadap Republik Filipina dan rakyat Filipina.

Beliau juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas jasa baik Baginda Sultan kerana menetapkan banyak rakyat Filipina di negara ini dan tidak melupakan juga atas segala apa yang telah diberikan.

Presiden Duterte ketika menyampaikan ucapan beliau di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Presiden Duterte ketika menyampaikan ucapan beliau di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
ATAS: Presiden Duterte ketika beramah mesra bersama rakyat dan warganegara Filipina yang berada di negara ini.
ATAS: Presiden Duterte ketika beramah mesra bersama rakyat dan warganegara Filipina yang berada di negara ini.

Selain itu, Presiden Duterte juga menyentuh mengenai memenangi peperangan terhadap dadah dan rasuah di Filipina dan juga usaha dalam mencapai keamanan.

“Apa yang saya inginkan hanya untuk melihat Republik Filipina untuk bangkit daripada kemiskinan. Kerana sebenarnya Republik Filipina bukanlah sebuah negara yang miskin, tetapi ia menjadi miskin oleh sebab orang-orang yang melakukan rasuah,” jelas beliau mengenai hasratnya terhadap Republik Filipina.

Dalam pada itu, Media Permata sempat menemu bual rakyat dan warganegara Filipina yang hadir di majlis ramah mesra berkenaan dan daripada temu bual berkenaan, mereka sangat menyokong Presiden Duterte dalam memimpin Republik Filipina.

Antara rakyat dan warganegara Filipina yang menghadiri majlis tersebut.
Antara rakyat dan warganegara Filipina yang menghadiri majlis tersebut.

“Kami sayangkan Presiden Duterte kerana beliau sangat bersemangat dalam membantu rakyat Filipina dalam membanteras dadah dan rasuah, menyelesaikan masalah kemiskinan. Masalah-masalah berkenaan adalah masalah-masalah utama yang dihadapi di Filipina,” jelas Ronaldo Collano.

“Kami datang ke sini malam ini kerana kami ingin bersemuka dengan presiden kami kerana kami telah bekerja di Brunei selama lapan tahun dan untuk berjumpa dengan Presiden Filipina merupakan satu peluang keemasan,” ujar Bernadette Bongcalot.

Bernadette Bongcalot juga menjelaskan bahawa mereka sangat menyokong Presiden Duterte kerana beliau melakukan perkara yang baik dan berfaedah buat Republik Filipina dengan membanteras rasuah dan dadah.

“Saya yang berasal dari Mindanao, mengetahui terhadap masalah-masalah yang dihadapi di sana seperti pengeboman, dadah, pembunuhan, penculikan dan jenayah rogol. Selepas beliau dipilih untuk jadi presiden, semua masalah berkenaan dapat ditangani dengan baik,” jelas Nor Zafera binti Abdullah Cuasta.

ARTIKEL YANG SAMA