Presiden FAM:...

Presiden FAM: Annuar dalam tempoh ‘bertenang’

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Calon bagi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berhasrat untuk ‘bertenang’ daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pemilihan tersebut.

Pemilihan jawatankuasa baru badan induk bola sepak negara bagi penggal 2017-2021 akan diadakan semasa Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Annuar dalam entri Facebooknya berkata tempoh ‘bertenang’ itu bagi memastikan keharmonian suasana pemilihan terjamin daripada sebarang rasuah dan seterusnya melahirkan keadaan harmonis, bersih, berintegriti, terbuka dan penuh semangat kesukanan.

“Dengan ini saya berhasrat ingin meminimakan ulasan dan kenyataan sekurang-kurangnya dua minggu sehingga saya selesai mengerjakan umrah. Saya bersyukur melihat FAM bakal dipimpin oleh mereka yang betul-betul berminat dan sukarela berbakti dan bukannya proksi atau atas kehendak orang lain.

“Semua calon ternyata mempunyai rekod sebagai aktivis bola sepak tanah air dengan kelebihan masing-masing dan ini menjanjikan sesuatu yang positif bagi sukan bola sepak negara,” katanya.

Annuar yang mengesahkan pencalonannya pada 6 Februari lepas akan merebut kerusi panas jawatan presiden FAM dalam pertembungan satu lawan satu dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut mengesahkan pencalonan pada Isnin. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA