Presiden FAM:...

Presiden FAM: TMJ sah bertanding lawan Annuar Musa

PETALING JAYA, 13 Feb – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya mengesahkan pencalonannya untuk bertanding merebut kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini menjadikan perebutan kerusi panas itu pertembungan satu lawan satu selepas Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan pencalonannya pada 6 Februari lepas.

Dua lagi calon yang dinamakan sebelum ini, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat tidak mengesahkan pencalonan mereka sehingga tempoh pencalonan ditutup petang tadi.

“TMJ dan Annuar merupakan dua calon yang telah mengesahkan pencalonan sehingga tamat tempoh pada pukul 5 petang ini.

“Pencalonan ini akan diteliti dalam mesyuarat Exco FAM pada 20 Februari ini,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media di Wisma FAM di sini.

Pemilihan jawatankuasa baru badan induk bola sepak negara bagi penggal 2017-2021 akan diadakan pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Hamidin berkata kedua-dua calon masih boleh menarik diri daripada pertandingan itu sebelum kongres dijalankan.

Sementara itu, pertandingan bagi jawatan dua timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan antara empat calon, manakala bagi empat jawatan naib presiden, seramai sembilan calon akan bertanding. – Bernama