Presiden Filipina tiba untuk lawatan negara

Presiden Filipina tiba untuk lawatan negara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Presiden Republik Filipina, Rodrigo Roa Duterte tiba di sini bagi lawatan negara selama tiga hari bermula hari ini hingga 19 Oktober.

Ketibaan beliau berserta rombongan di Lapangan Antarabangsa Brunei, Berakas, dialu-alukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Menteri Pengiring dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

Sejurus ketibaan Presiden Duterte turut diperkenalkan kepada Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Al-Islam.

Presiden Duterte kemudiannya melintasi kawalan statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sebelum diiringi oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menuju ke Istana Edinburgh.

Presiden Duterte diiringi oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar melintasi kawalan statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, petang kelmarin. - Gambar oleh Muiz Matdani
Presiden Duterte diiringi oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar melintasi kawalan statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, petang kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau juga mengadakan pertemuan dan beramah mesra bersama rakyat dan warganegara Filipina yang berada di Brunei Darussalam di dalam majlis istimewa yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas petang ini. Terdapat lebih 23,000 warga Filipina yang berkhidmat dan menetap di Brunei.

Esok, Presiden Duterte akan mengadap ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, mengadakan perjumpaan dua hala bersama Baginda Sultan serta menteri-menteri kabinet dan Majlis Persantapan Negara pada sebelah malam 18 Oktober.

Lawatan rasmi pertama Presiden Duterte ke Negara Brunei Darussalam akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik serta membuka ruang bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan di antara Brunei dan Filipina.

ARTIKEL YANG SAMA