Presiden gesa tindakan segera kekang MERS

Presiden gesa tindakan segera kekang MERS

SEOUL, 3 Jun (AFP) – Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye hari ini menggesa pegawai supaya mengurangkan perasaan panik orang awam mengenai satu wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) yang telah menjangkiti 30 orang, membunuh dua dan menutup beratus sekolah.

Dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia meramalkan jangkitan selanjutnya dan kerajaan menerima kecaman atas respons awal mereka, Park mengadakan satu mesyuarat tergempar dengan pegawai kanan kesihatan dan pakar perubatan untuk memetakan satu strategi kuarantin menyeluruh.

“Ramai penduduk Korea Selatan berasa bimbang,” kata Park, meminta “usaha sedaya upaya” dilakukan untuk menghalang virus daripada merebak.

“Pelajar dan orang tua adalah antara yang paling mudah terdedah, maka biarlah kami bincang cara-cara untuk melindungi orang berkenaan,” tambah beliau.

Sebelum itu, Menteri Pendidikan Hwang Woo-Yea berkata lebih daripada 200 sekolah rendah telah ditutup buat sementara waktu, tatkala ibu bapa mengeluarkan anak mereka.

Pelajar Korea Selatan memakai topeng muka bagi mengelak dijangkiti MERS, berjalan di Istana Gyeongbok di tengah Seoul, Korea Selatan, 3 Jun. Presiden Park Geun-hye mengatakan segala usaha mesti dilakukan untuk mengekang MERS ketika kebimbangan mengenainya menutup beratus-ratus sekolah dan gergasi korporat Samsung membatalkan persidangan kakitangan. – Reuters

Lima kes baru dilaporkan semalaman, menjadikannya wabak MERS terbesar di luar Arab Saudi, di mana virus tersebut telah membunuh lebih daripada 400 orang sejak 2012.

Dengan jangkitan baru dilaporkan setiap hari, wabak itu telah mencetuskan panik di seluruh negara dan melihat penduduk bandar menyimpan topeng muka dan pembasmi kuman tangan.

Berpuluh acara awam telah pun dibatalkan, sementara lebih daripada 1,360 orang yang terdedah secara langsung atau tidak langsung kepada virus berkenaan telah pun ditempatkan di bawah pelbagai tahap kuarantin.

ARTIKEL YANG SAMA