Presiden Iran dipelawa lawat Paris

Presiden Iran dipelawa lawat Paris

TEHRAN, 29 Jul (AFP) – Presiden Iran Hassan Rouhani telah dipelawa untuk melawat Paris pada November, kata Menteri Luar Perancis Laurent Fabius di Tehran hari ini.

Jemputan itu datang dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Rouhani daripada Presiden Perancis Francois Hollande yang disampaikan oleh Fabius dalam lawatannya ke ibu negara Iran, dua minggu selepas pemeteraian perjanjian nuklear di antara republik Islam dan kuasa dunia.

“Saya adalah pembawa satu jemputan daripada presiden republik Perancis kepada presiden Iran untuk melawat Perancis jika beliau mahu, pada November,” kata Fabius ketika satu persidangan akhbar dengan rakan sejawatan Iran Mohammad Javad Zarif.

Jika diterima, lawatan tersebut akan menjadi lawatan yang pertama untuk Rouhani ke Perancis sebagai presiden.

Sebagai ketua diplomat Perancis dalam rundingan nuklear, Fabius terkenal kerana mengamalkan dasar tidak bertolak ansur mengenai apa yang mesti dilakukan oleh Iran di bawah satu perjanjian untuk menamatkan perbalahan mengenai program nuklearnya.

Bagaimanapun, menteri luar Perancis memulakan lawatannya ke Iran dengan berkata sudah tiba masanya untuk melancarkan hubungan di antara kedua-dua negara selepas perjanjian nuklear.