Presiden isytihar Gambia negara Islam

Presiden isytihar Gambia negara Islam

BANJUL, Gambia, 13 Dis (AFP) – Presiden Yahya Jammeh telah mengisytiharkan Gambia ‘sebuah negara Islam’ tetapi menekankan bahawa hak-hak minoriti penganut Kristian di negara kecil barat Afrika itu akan dihormati dan wanita-wanita Kristian dikecualikan dari kod pakaian.

Pengumuman itu dibuat ketika presiden berucap kepada para penyokong di bandar pantai Brufut Khamis dan ulasan itu kemudian disiarkan di televisyen kerajaan dan diulangi di laman sesawang beliau.

“Nasib Gambia ditakdirkan Allah. Bermula hari ini, Gambia adalah sebuah negara Islam. Kita akan menjadi negara Islam yang akan menghormati hak-hak warganegaranya,” beliau dipetik sebagai berkata di laman sesawang pejabat presiden.

Dalam ucapan yang ditayangkan di GRTV, ditonton oleh AFP semalam, presiden tidak membutirkan tentang apakah makna perubahan kepada negara itu, tetapi beliau memberi jaminan penganut Kristian dan para pengikut agama lain akan dapat mengamalkan kepercayaan mereka dengan bebas.

“Penganut Kristian akan dihormati. Cara meraikan Krismas akan diteruskan,” kata beliau dengan menambah kata tidak sesiapa berhak turut campur dalam ‘cara hidup’ orang lain. Beliau juga memberi amaran tentang cuba untuk mengenakan kod pakaian ke atas wanita.

“Saya belum melantik sesiapa sebagai anggota polis Islam. Cara wanita berpakaian bukan urusan kamu,” katanya.

Negara miskin bekas jajahan Britain ini terletak dalam Senegal, dan terkenal dengan pasir putih pantainya, Gambia mempunyai penduduk hampir dua juta, 90 peratus adalah beragama Islam.