Presiden Nigeria bincang isu minyak dengan Arab Saudi

Presiden Nigeria bincang isu minyak dengan Arab Saudi

RIYADH, 23 Feb (AFP) – Pemimpin pengeluar minyak nombor satu Afrika berada di Arab Saudi pada hari ini, dengan penganalisis meramalkan sokongan negaranya terhadap satu pembekuan pengeluaran untuk menstabilkan harga.

Presiden Nigeria Muhammadu Buhari dijangka bertemu dengan Raja Salman sebelum berkunjung ke Qatar.

Agensi Akhbar Saudi melaporkan lewat semalam bahawa Buhari mendarat di Riyadh, di mana gabenor, Putera Faisal bin Abdulaziz, menyambut kedatangan beliau.

Ia tidak memberikan butir-butir mengenai perbincangan yang akan diadakan.

Buhari tiba pada minggu selepas Arab Saudi dan Rusia bersetuju di Doha untuk berpegang kepada jumlah pengeluaran Januari jika negara lain mengikut sama keputusan yang diambil.

Presiden Nigeria yang kini berada di Riyadh untuk bertemu dengan Raja Salman untuk menyuarakan sokongan negaranya terhadap satu pembekuan pengeluaran untuk menstabilkan harga. – Reuters
Presiden Nigeria yang kini berada di Riyadh untuk bertemu dengan Raja Salman untuk menyuarakan sokongan negaranya terhadap satu pembekuan pengeluaran untuk menstabilkan harga. – Reuters

Pembekuan pengeluaran bertujuan untuk menstabilkan pasaran di mana harga telah merosot ke tahap paling rendah mereka dalam 13 tahun.

Anggota OPEC yang lebih miskin termasuk Nigeria telah terjejas teruk oleh kemerosotan harga malah negara Teluk yang kaya telah pun dipaksa mengambil langkah-langkah berjimat cermat untuk mengatasi kemerosotan pendapatan minyak.

“Nigeria mungkin menyokong pembekuan sedemikian. Maka saya tidak akan rasa terkejut untuk melihat mereka menyuarakan sokongan mereka terhadap pembekuan yang dipersetujui di Doha,” beritahu Abhishek Deshpande, penganalisis pasaran minyak di Natixis di London, kepada AFP.

Namun beliau menambah melainkan Iraq dan Iran juga komited untuk mengehadkan pengeluaran rundingan sedemikian “tidak akan berkesan.”

Kedua-dua negara adalah pengeluar kedua dan ketiga terbesar OPEC.

Harga telah merosot sejak 2014 apabila OPEC enggan mengurangkan pengeluaran dalam pasaran yang semakin kompetitif, terutamanya daripada pengeluar minyak syal Amerika.

Rusia, yang mengeluarkan kira-kira 10.7 juta tong minyak sehari, tidak menyertai Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), di mana Arab Saudi merupakan pengeluar utama dan Nigeria anggota yang lebih kecil.