Presiden Park sedia letak jawatan

Presiden Park sedia letak jawatan

SEOUL, 29 Nov – Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye yang diselubungi krisis hari ini berkata beliau bersedia meletak jawatan awal dan akan membiarkan parlimen menentukan nasibnya sebagai pemimpin.

“Saya akan menyerahkan isu pengunduran saya, termasuklah kemungkinan pengurangan tempoh saya dalam jawatan, kepada keputusan Dewan Perhimpunan Kebangsaan,” kata beliau dalam ucapan yang disiarkan langsung di televisyen.

“Sebaik saja ahli undangan muncul dengan langkah untuk memindahkan kuasa dalam cara yang mengurangkan sebarang kekosongan kuasa dan keadaan kelam kabut dalam kepimpinan, saya akan meletak jawatan,” katanya tanpa memberikan sebarang butiran.

Tetapi para penentang berkata kenyataan itu adalah taktik untuk menjejaskan usaha dalam parlimen yang dikawal pihak pembangkang untuk mendakwa Park berhubung skandal yang telah pun menyaksikan penasihat rahsianya Choi Soon-Sil didakwa dengan tuduhan penipuan dan penyalahgunaan kuasa.

Sebilangan ahli undangan dari parti memerintah menyokong usaha tiga parti pembangkang utama untuk meluluskan usulan seawal-awalnya Jumaat untuk mendakwa Park.

Park Geun-Hye semasa memberi ucapan kepada negara di Rumah Biru Presiden di Seoul pada 29 November. – AFP
Park Geun-Hye semasa memberi ucapan kepada negara di Rumah Biru Presiden di Seoul pada 29 November. – AFP

Jika parlimen meluluskan usulan itu, Park akan segera digantung dari tugas rasminya dan perdana menteri beliau akan mengambil alih sebagai pemimpin sementara kerajaan.

Mahkamah Perlembagaan mungkin mengambil masa paling lama enam bulan untuk menentukan sama ada akan meluluskan pendakwaan.

“Kenyataan presiden tidak menunjukkan penyesalan ikhlas. Apa yang diinginkan oleh rakyat ialah peletakan jawatan segera beliau,” menurut kenyataan parti pembangkang utama, parti Demokrasi.

“Bukan untuk beliau terus membida masa, memberi tindakan kepada mahkamah parlimen. Kami akan meneruskan dengan pendakwaan ke atas beliau,” tambahnya. – AFP