Presiden pertahan lawatan ke LCS

Presiden pertahan lawatan ke LCS

TAIPEI, 28 Jan – Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou mempertahankan lawatannya ke pulau dipertikaikan di Laut China Selatan (LCS) hari ini meskipun berdepan kritikan dari Amerika Syarikat dan bantahan dari penuntut lain ketika ketegangan memuncak di rantau itu.

Taipei menegaskan Pulau Taiping di Spratlys adalah sebahagian daripada wilayahnya, namun rentetan pulau itu juga dituntut sebahagiannya atau keseluruhannya oleh Vietnam, China, Filipina, Malaysia dan Brunei.

“Kami berada dalam laluan umum yang sama seperti Amerika Syarikat (AS) dan saya tidak melihat bagaimana lawatan saya akan meningkatkan lagi ketegangan itu. Saya tidak pergi ke sana untuk memarahi negara-negara lain,” ujarnya kepada wartawan setelah kembali ke Taipei pada malam hari ini, menyangkal teguran dari penuntut pesaing.

Tujuan lawatan itu adalah untuk melawat kakitangan Taiwan yang ditugaskan di sana menjelang cuti Tahun Baru Cina, menurut pejabat presiden, dan Ma mengatakan AS telah dimaklumkan awal mengenai lawatan itu.

“Di Laut China Selatan jika mana-mana negara mengambil sebarang tindakan, banyak negara yang akan membantah dan kami akan kekal memantaunya….saya benar-benar tidak dapat melihat apa yang mereka bantahkan itu,” katanya.

Presiden Ma Ying-jeou (tengah) memegang buah labu di pulau Taiping atau Itu Aba di Laut China Selatan, pada 28 Januari. – Reuters
Presiden Ma Ying-jeou (tengah) memegang buah labu di pulau Taiping atau Itu Aba di Laut China Selatan, pada 28 Januari. – Reuters

Dalam ucapan awal di Taiping, Ma mengatakan pulau-pulau itu adalah ‘adalah wujud sebahagiannya daripada Republik China,” menggunakan tajuk rasmi Taiwan. “Ia tidak dapat dipertikaikan lagi,” tambahnya.

Taiwan telah memperkukuhkan kehadirannya di pulau itu, memulakan rumah api berkuasa solar, dan melebarkan lapangan terbang kecil dan tambangan lewat tahun lepas.

Sungguhpun menerima teguran daripada Washington dan penuntut lain, Ma hari ini telah membuat beberapa usaha yang berbunyi perdamaian, menyeru untuk mengetepikan pertikaian dan mengusulkan penerokaan bersama sumber asli di kawasan itu yang dipercayai tersimpan.

“Untuk menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan, kerajaan ROC akan berusaha untuk melindungi kedaulatan, menyangkal pertikaian, mengejar perdamaian dan kesalinghubungan, serta mempromosi pembangunan bersama,” ujarnya.– AFP