Presiden Rwanda bakal putuskan penggal ketiga

Presiden Rwanda bakal putuskan penggal ketiga

KIGALI, 7 Dis – Presiden Rwanda berkata beliau akan memutuskan sama ada untuk meneruskan penggal ketiga selepas satu referendum, kemungkinan pada bulan ini, mengenai satu perubahan perlembagaan yang akan membenarnya bertanding sekali lagi.

Amerika Syarikat, penderma utama yang telah lama memuji Presiden Paul Kagame kerana membina sebuah negara selepas pembunuhan 1994, berkata beliau menjadi teladan kepada rantau dengan meletak jawatan pada akhir penggal keduanya pada 2017.

Perdebatan mengenai had penggal telah tercetus di seluruh Afrika. Di Burundi, pemilihan Presiden Pierre Nkurunziza untuk penggal ketiga yang menghadapi tentangan telah menjerumuskan negara ke dalam krisis. Pemimpin Afrika lain juga sedang menghampiri had penggal.

Kagame, yang menjadi presiden dipilih pertama pada 2003 tetapi dilihat sebagai broker kuasa utama Rwanda lama sebelum itu, belum mengumumkan hasratnya tetapi berkata mereka yang mahu beliau meneruskan kuasa mesti meyakinkannya.

“Saya masih mendengar,” beritahunya kepada pegawai kanan di Barisan Patriotik Rwanda semalam. “Apa sahaja yang anda mahu daripada saya akan berdasarkan keputusan referendum dan dengan itu jawapan saya akan keluar selepas referendum.” Beliau tidak memberikan tarikh untuk pengundian dalam komennya yang disiarkan oleh penyiar negara.

Senator Tito Rutaremara, anggota parti pemerintah, memberitahu Reuters kabinet dijangka memberikan satu jadual masa pada minggu ini. “Kami ingin ia diadakan pada 18 Disember, tetapi anda tahu, meminta adalah lain daripada menerima,” kata beliau.

Akhbar pro-kerajaan New Times memetik pegawai sebagai berkata pengundian tidak harus diadakan lebih lewat daripada 18 Disember. – Reuters