Presiden tinjau kemusnahan pagoda

Presiden tinjau kemusnahan pagoda

BAGAN, Myanmar, 25 Ogos – Menggunakan penyapu dan tangan mereka, tentera dan penduduk sebuah bandar Myanmar yang terkenal dengan kuil Buddha hari ini mulai membersihkan runtuhan akibat gempa bumi kuat yang menggegar rantau dan memusnahkan hampir 200 pagoda.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 171 pagoda bata rosak di Bagan selepas gempa bumi dengan magnitud 6.8 melanda kawasan itu semalam. Gegaran berpusat kira-kira 25 kilometer dari barat Chauk, selatan Bagan.

Bagan, juga dikenali sebagai Pagan, adalah salah satu tarikan pelancong utama di Myanmar, menarik pelawat dari seluruh dunia yang boleh melihat pemandangan kuil yang terbentang ke kaki langit yang diapit oleh Sungai Irrawaddy.

Maria Gomez, seorang pelancong Portugal, berkata beliau sedang berjalan ke sungai untuk melihat mata hari terbenam apabila “kami terasa bumi sedang bergerak. Semua orang berasa amat takut dan semua orang menjerit.”

“Hanya selepas 30 saat barulah kami menyedari apa yang sedang berlaku,” beritahunya kepada The Associated Press.

Presiden Myanmar Htin Kyaw tiba di Bagan hari ini untuk menilai kemusnahan dan bercakap dengan para pegawai tempatan tentang bagaimana untuk memperbaikinya.

Bagan adalah tempat tinggal kepada lebih daripada 2,200 struktur, termasuk pagoda dan kuil yang dibina dari abad ke-10 hingga ke-14. Kebanyakannya dalam keadaan kopak-kapik sementara yang lainnya telah pun dipulihkan dalam beberapa tahun ini, dibantu oleh agensi kebudayaan PBB UNESCO.

Zaw Naing, penjaga di salah sebuah pagoda yang mengecat dan menjual hasil kerjanya kepada pelancong, berkata beliau berasa sedih dengan kerosakan, namun juga bimbang gempa bumi mungkin menjejas mata pencarian kebanyakan penduduk yang tinggal di sana.

“Saya amat bimbang, pelancong ke Bagan akan berkurangan,” kata Zaw Naing. “Saya mempunyai tiga orang anak untuk disara.”

Ketika beliau bercakap, tentera dan penduduk yang bekerja di kawasan itu boleh dilihat mengambil bata merah pecah dengan tangan mereka dan meletakkannya ke dalam guni. Yang lainnya menyapu laluan pejalan kaki yang menuju ke kuil yang telah pun diselubungi debu apabila gegaran melanda; hujung ikoniknya bertenggek di atas beberapa pagoda yang telah roboh. – AP