Presiden Tunisia isytihar darurat

Presiden Tunisia isytihar darurat

TUNIS, 5 Julai (Reuters) – Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi mengisytiharkan darurat di seluruh negara dengan menegaskan serangan militan Islam di sebuah hotel tepi pantai yang meragut 38 nyawa rakyat asing, kini menyebabkan negara di ambang perang.

Serangan berdarah minggu lalu, iaitu tiga bulan selepas serangan di Muzium Bardo di Tunis, mengejutkan negara Utara Afrika itu yang sedang melaksanakan demokrasi selepas insiden “Arab Spring” pada 2011 lalu.

Undang-undang Sementara Darurat Tunisia memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggerakkan tentera dan polis bagi menangani mereka yang cuba mengadakan perhimpunan awam dan penahanan mereka yang ingkar.

“Berikutan risiko pengganas dan dalam konteks keselamatan serantau kami mengisytiharkan perintah darurat negara,” kata Essebsi dalam satu siaran televisyen.

“Kami akan terus menangani ancaman yang boleh membawa peperangan dalam negara dengan menggunakan semua tindakan yang sesuai,” katanya.

Orang awam melihat penghargaan yang ditinggalkan buat mangsa tembakan di Tunisia. - AFP
Orang awam melihat penghargaan yang ditinggalkan buat mangsa tembakan di Tunisia. – AFP

Seorang lelaki bersenjata Tunisia yang dilaporkan pernah berlatih di kem jihad di Libya, melepaskan tembakan ke arah pelancong asing yang kebanyakannya warga Britain di sebuah resort di Sousse pada 26 Jun lalu.

Kejadian pembunuhan itu menjejaskan imej industri pelancongan Tunisia dengan ribuan pelancong meninggalkan negara itu serta menyebabkan kehilangan dianggarkan AS$500 juta kepada sektor yang menyumbang pendapatan tujuh peratus kepada ekonomi Tunisia.

Pihak berkuasa sebelum ini juga bertindak menutup 80 masjid yang didakwa menyebarkan pengaruh ekstrim dan membantu merekrut anak muda menjadi militan.

Tunisia pernah mengisytiharkan darurat pada 2011 ketika kemuncak pemerintahan autokrat Presiden Zine el-Abidine Ben Ali yang mencetuskan pemberontakan rakyat.

ARTIKEL YANG SAMA