Presiden Vietnam, rombongan lawat beberapa tempat menarik

Presiden Vietnam, rombongan lawat beberapa tempat menarik

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Presiden Republik Sosialis Vietnam, Tran Dai Quang dan Isteri, Nguyen Thi Hien serta rombongan hari ini mengadakan lawatan ke beberapa tempat menarik di ibu negara sempena lawatan tiga hari ke negara ini.

Ketibaan rombongan di Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dialu-alukan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan datin.

Sebelum memulakan lawatan rombongan presiden telah diberikan penerangan ringkas mengenai penubuhan dan fungsi galeri berkenaan.

Presiden berserta rombongan menyaksikan galeri-galeri pameran yang sebahagian besarnya mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja yang diwarisi sejak turun-temurun dan zaman-berzaman sebagai lambang kebesaran kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Antara yang menarik perhatian rombongan ialah Galeri Pameran Diraja yang antara lain merakamkan sejarah hidup Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada zaman kanak-kanak sehingga Baginda dipuspakan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyambut ketibaan Presiden Tran Dai Quang dan rombongan ketika melawat Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyambut ketibaan Presiden Tran Dai Quang dan rombongan ketika melawat Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja kelmarin.
Tran Dai Quang dan isteri mendengar penerangan ketika melawat Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja.
Tran Dai Quang dan isteri mendengar penerangan ketika melawat Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja.
Isteri Presiden Vietnam, Nguyen Thi Hien ketika melawat Kampong Ayer, kelmarin.
Isteri Presiden Vietnam, Nguyen Thi Hien ketika melawat Kampong Ayer, kelmarin.

Selain itu, rombongan juga melawat ke beberapa galeri lain seperti Galeri Pameran Alat-alat Kebesaran Diraja, Galeri Pameran Jubli Perak dan Galeri Pameran Sejarah serta Perkembangan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam. Sebelum mengakhiri lawatan, Presiden Tran dan isteri juga menandatangani buku lawatan dan seterusnya bergambar kenangan di bangunan berkenaan.

Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 30 September 1992.

Reka bentuk bangunan ini menggabungkan ciri-ciri konsep Melayu Islam Beraja dan telah menjadi salah satu mercu tanda di ibu negara.

Presiden Vietnam dan isteri serta rombongan menamatkan lawatan tiga hari ke negara ini pada hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA