Presiden Vietnam tiba untuk lawatan negara

Presiden Vietnam tiba untuk lawatan negara

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Presiden Republik Sosialis Vietnam, Tran Dai Quang dan isteri, Nguyen Thi Hien tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari hingga 28 Ogos ini.

Ketibaan beliau berserta rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, dialu-alukan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, selaku Menteri Pengiring dan isteri, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman.

Turut berada di lapangan terbang bagi mengalu-alukan ketibaan kedua-duanya ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan isteri, Pengiran Datin Hajah Salwana binti Pengiran Haji Ibrahim; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Al-Islam; Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Duta Negara Brunei Darussalam ke Republik Sosialis Vietnam, Pengiran Sahari bin Pengiran Haji Salleh dan isteri, Dayang Hamidah binti Haji Haris; pegawai pengiring, juruiring tentera, pegawai-pegawai penghubung serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Vietnam di Negara Brunei Darussalam.

Presiden Tran Dai Quang mengetuai rombongan seramai 147 orang termasuk rombongan perniagaan. Sejurus tiba beliau dan isteri melintasi kawalan statik yang terdiri daripada anggota ABDB sebelum diiringi oleh Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi dan isteri menuju ke Hotel Empire & Country Club, Jerudong.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi mengalu-alukan ketibaan Presiden Republik Sosialis Vietnam.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi mengalu-alukan ketibaan Presiden Republik Sosialis Vietnam.
Presiden Tran Dai Quang dan isteri, Nguyen Thi Hien semasa ketibaan di Brunei, kelmarin.
Presiden Tran Dai Quang dan isteri, Nguyen Thi Hien semasa ketibaan di Brunei, kelmarin.

Pada 27 Ogos, beliau dijadualkan mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, mengadakan perjumpaan dua hala dan Majlis Persantapan Negara pada sebelah malam 27 Ogos.

Presiden Republik Sosialis Vietnam juga dijadualkan untuk mengadakan lawatan ke SPARK dan Brunei LNG Sdn Bhd di Lumut, Daerah Belait pada 27 Ogos.

Pada 28 Ogos, sebelah pagi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Brunei, menghadiri Forum Perniagaan Negara Brunei Darussalam-Vietnam dan akan mengadakan lawatan ke Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja sebelum bertolak balik pada sebelah petang.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam menjalinkan hubungan diplomatik pada 29 Februari 1992 dan ia terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang yang meliputi bidang perdagangan, pertahanan, pelancongan, kesihatan, kebudayaan dan pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA