Presiden wariskan harta untuk belia

Presiden wariskan harta untuk belia

LIBREVILLE, 18 Ogos – Presiden Gabon Ali Bongo Ondimba berkata lewat semalam beliau akan memberikan “semua bahagian yang diwarisinya” daripada bapanya yang lama memerintah, Omar Bongo Ondimba kepada “para belia Gabon”, dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara tersebut.

“Saya sudah memutuskan dengan persetujuan penuh daripada isteri saya, Sylvia Bongo Ondimba dan anak-anak saya, bahawa bahagian yang saya warisi akan dikongsi dengan semua belia Gabon kerana pada saya, kita semua adalah waris kepada Omar Bongo Ondimba,” katanya, sambil berkata “tiada warga Gabon yang patut dibiarkan di tepi jalan”.

“Semua pendapatan daripada bahagian yang saya warisi akan disumbangkan kepada yayasan bagi belia dan pendidikan,” tegasnya.

Presiden kemudian mengumumkan bahawa “bagi pihak anak-anak” Omar Bongo, hartanah di Libreville berhampiran Camp de Gaulle akan dipindahkan kepada negara bagi mewujudkan sebuah universiti.

Beliau menambah bahawa anak-anak Bongo akan memberikan dua hartanah di Paris yang dimiliki mendiang presiden kepada negara sebagai “simbol persaudaraan dengan Perancis.”

Presiden Gabon, Ali Bongo Ondimba. – AFP
Presiden Gabon, Ali Bongo Ondimba. – AFP

“Hartanah ini, yang akan menjadi sebahagian warisan negara Gabon, akan menjadi lokasi bagi urusan diplomatik dan kebudayaan,” kata presiden.

“Mereka yang cukup bernasib baik mempunyai sokongan ibu bapa mereka atau negara perlu sebagai imbalannya perlu bermurah hati, bersatu padu, terutama ketika berdepan keadaan yang susah,” katanya.

Ali Bongo menjadi presiden berikutan kematian bapanya Omar Bongo pada 2009, yang memerintah negara yang kaya dengan sumber minyak itu sejak 1967. – AFP