Presiden Zambia bangun semula ekonomi

Presiden Zambia bangun semula ekonomi

LUSAKA, 21 Ogos – Presiden Zambia yang baru dilantik Edgar Lungu berdepan perjuangan sukar untuk menghidupkan semula ekonomi yang goyah akibat kemerosotan harga tembaga, dengan matawang yang jatuh bebas dan defisit belanjawan yang meluas.

Selepas memenangi undi yang dipertikaikan pada minggu lalu, Lungu mengorak langkah untuk meyakinkan para penyokong bahawa kerajaan baru akan berusaha memperbaiki kebajikan rakyat Zambia yang dicengkam inflasi tinggi dan harga makanan yang meningkat.

Kejatuhan harga tembaga yang hampir satu pertiga dari puncaknya pada Februari 2011 telah mengakibatkan kehilangan beribu-ribu pekerjaan dalam industri perlombongan ini, yang mana kebanyakan syarikat adalah milik para pelabur asing, terutamanya pelabur-pelabur China.Krisis ini menyaksikan sebilangan syarikat menangguhkan pengeluaran, yang memberi tamparan hebat kepada pengeksport utama negara selatan Afrika ini.

“Kerajaan baru perlu berusaha keras untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi, kata Oliver Saasa, ketua eksekutif firma pakar runding perniagaan, Premier Consult.

Saasa percaya Lungu yang kali pertama menduduki jawatan ini pada Januari 2015 selepas kematian presiden Michael Sata, telah diketatkan oleh dasar mendiang presiden sebelumnya.

“Rombakan dasar kerajaan diperlukan untuk mengubah keadaan dan membangkitkan keyakinan dalam sistem,” dia memberitahu AFP.

“Kita tidak boleh selalu bergantung pada tembaga, ekonomi perlu dipelbagaikan.”

Sebelum ini Zambia menikmati tempoh pertumbuhan yang paling menonjol, berkemuncak pada 10.3 peratus pada tahun 2010.

Tetapi harga tembaga yang mengalami kejatuhan telah meletakkan ekonomi di bawah tekanan yang amat, menurut Dana Matawang Antarabangsa.

Pada tahun 2015, negara mencatatkan pertumbuhan penghasilan kasar domestik (GDP) sebanyak 3.2 peratus – paling terendah sejak 1998 – dan kadar itu diramalkan menurun kepada kira-kira 3.0 peratus tahun ini. – AFP