Prestasi pasukan tidak akan berubah mendadak

JOHOR BAHRU, 12 Okt – Prestasi skuad bola sepak kebangsaan Malaysia dalam pelbagai perlawanan antarabangsa tidak akan berubah mendadak sekalipun jurulatihnya, Nelo Vingada dipecat gara-gara kegagalan membawa kemenangan kepada pasukan sejak membimbingnya.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah permasalahan terbesar dalam skuad bola sepak negara kini ialah ia tidak mempunyai ‘mentaliti meraih kemenangan’ dalam kalangan pemainnya yang disifatkannya elemen paling getir dalam mentranformasikan kekuatan pasukan.

Semalam, pasukan Harimau Malaysia tewas 0-2 dengan pasukan Hong Kong dalam aksi timbal balik kelayakan Piala Asia 2019 dengan kapten pasukan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah berikutan kekasarannya ke atas pemain lawan.

Sebelum itu, pasukan Malaysia juga tewas menentang Lubnan dan juga pasukan Hong Kong pada perlawanan terdahulu.

Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor tidak menyalahkan Safiq kerana mendapat kad merah ketika menentang Hong Kong malam semalam, sebaliknya menyatakan kesemua anggota pasukan harus disalahkan.

Tunku Ismail bertitah kekalahan dengan pasukan Hong Kong itu bukanlah yang terakhir bagi skuad Malaysia malah akan ada lebih banyak lagi kekalahan pada masa depan, walaupun sukar untuk diterima.

Tiada siapa bertanya apa yang sebenarnya berlaku dalam bola sepak Malaysia, di mana ia sudah bermasalah sejak dahulu lagi. – Bernama