Prestasi perbankan 2015 kukuh

Prestasi perbankan 2015 kukuh

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Sektor perbankan di negara ini telah menunjukkan keuntungan yang kukuh dan kualiti aset bertambah baik bagi tahun 2015.

Ini terbukti berdasarkan penyata kewangan beraudit yang diterbitkan oleh bank-bank dalam laporan kewangan mereka bagi tahun 2015 yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam satu kenyataan berkata, laporan kewangan bank-bank bagi tahun 2015 telah mencapai kesimpulan pada 31 Mac 2016 dan secara keseluruhan, penunjuk kekukuhan kewangan utama dalam sektor perbankan kekal pada tahap yang kukuh.

Menurut AMBD, pada penghujung bulan Disember 2015, nisbah kecukupan modal (capital adequacy ratio) secara agregat bagi sektor perbankan adalah sebanyak 21.5 peratus yang mana adalah melebihi keperluan mandatori minima 10 peratus. “Pembiayaan bank telah meningkat sebanyak 7.2 peratus daripada $5.7 bilion pada penghujung bulan Disember 2014 kepada $6.1 bilion pada penghujung bulan Disember 2015. Nisbah penunjuk keuntungan, iaitu Return on Assets (ROA) dan Return on Equity (ROE), adalah masing-masing sebanyak 1.3 peratus dan 9 peratus.

“Nisbah pembiayaan yang tidak berbayar telah menunjukkan pembaikan di mana nisbah berkenaan menurun kepada 4.9 peratus pada penghujung bulan Disember 2015 daripada 5.0 peratus pada penghujung bulan Disember 2014.

“Maklumat ini menunjukkan bahawa dasar-dasar prudential yang dikeluarkan oleh AMBD, ditambah pula dengan jumlah pendapatan yang mantap bagi kesemua bank telah memastikan kekukuhan yang berterusan dan sektor kewangan yang stabil,” kata AMBD.

Menurut kenyataan itu lagi, pada tahun ini, berdasarkan pada asas-asas tersebut, AMBD berhasrat untuk meneruskan penyediaan Rangkakerja Basel II Capital Adequacy yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2017.

Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd Rahman berkata, jumlah keuntungan dan prestasi sektor perbankan di negara ini telah menunjukkan keuntungan yang meningkat dan bukan sebaliknya.

“Manakala peraturan-peraturan AMBD pula telah memberikan kesan yang positif kepada nisbah pembiayaan tidak berbayar dan membolehkan pengguna untuk menguruskan hal ehwal kewangan mereka dengan lebih berkesan yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan.”

ARTIKEL YANG SAMA