Prestasi syarikat penerbangan global dijangka kukuh tahun ini

Prestasi syarikat penerbangan global dijangka kukuh tahun ini

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Prestasi syarikat penerbangan dunia dijangkakan kembali kukuh pada 2016, didorong oleh peningkatan jumlah trafik, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA berkata penurunan harga minyak serta tekanan yang kompetitif dalam industri, berkemungkinan akan menurunkan lagi kadar tambang tahun ini dengan memanfaatkan lindung nilai bahan api.

“Trafik penumpang udara dunia secara keseluruhannya meningkat 6.5 peratus pada 2015, peningkatan paling pantas sejak 2010, dirangsang oleh penurunan kadar tambang udara dunia.

“Kami menjangkakan tahun yang kukuh pada 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harga minyak mentah Brent jatuh ke paras terendah dalam tempoh 12 tahun kepada US$26 setong pada Januari ekoran unjuran permintaan yang lemah.

IATA berkata jika keadaan ini berterusan, kejatuhan harga minyak yang berlaku sejak tiga bulan lepas akan mengurangkan bil bahan api tahunan industri penerbangan sebanyak kira-kira US$12 bilion pada 2016, meskipun lindung nilai menangguhkan manfaat ini. Sepanjang suku keempat tahun lepas, keputusan kewangan syarikat penerbangan kukuh hingga akhir 2015, dengan peningkatan ketara di Amerika Utara dan Eropah.

“Kami hanya memperoleh keputusan kewangan suku keempat 2015 daripada 14 syarikat penerbangan setakat ini, namun keuntungan bersih selepas cukai kumpulan ini adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding suku yang sama pada 2014, atau 15.2 peratus margin operasi.

“Kami menjangkakan prestasi kewangan yang kukuh dalam industri ini pada 2016,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA