Previu persembahan program kapal belia

Previu persembahan program kapal belia

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini, telah mengadakan Previu Persembahan Kebudayaan dan Pameran bagi Program Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-43, bertempat di Dewan Digadong, KKBS.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para penaja program berkenaan dan seterusnya pameran pakaian-pakaian yang diguna pakai oleh para peserta program sepanjang program berlangsung.

Menurut kenyataan KKBS, kontinjen Negara Brunei Darussalam yang mengikuti program berkenaan diwakili seramai 28 orang belia iaitu seorang ketua kontinjen, 13 orang peserta lelaki dan 14 orang peserta perempuan yang terdiri daripada para pegawai kerajaan dan swasta serta orang perseorangan.

Tarian tradisional yang dipersembahkan oleh peserta program berkenaan.
Tarian tradisional yang dipersembahkan oleh peserta program berkenaan.

SSEAYP merupakan program pertukaran belia antarabangsa khusus bagi negara-negara ASEAN dan Jepun yang telah bermula sejak 1974 dengan tujuan bagi melahirkan kesefahaman dan kerjasama antarabangsa dalam kalangan belia-belia ASEAN dan juga Jepun, di samping mempelajari adat budaya, politik dan pembangunan ekonomi bagi sesebuah Negara.

Penyertaan Negara Brunei Darussalam tahun ini merupakan kali ke-31 sejak penyertaan rasmi negara pada tahun 1985.

Program tahun ini akan bermula pada 25 Oktober hingga 15 Disember 2016, yang mana sepanjang tempoh 51 hari itu, seramai 330 orang belia dari 11 buah negara akan menaiki Kapal Nippon Maru dan singgah di beberapa buah negara yang telah dipilih iaitu Bandar Ho Chi Minh, Vietnam; Bangkok, Thailand; Singapura; Jakarta, Indonesia dan akan berakhir di Tokyo, Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA